Afghanistan tembak jet Pakistan di Kabul - Utusan Malaysia

Afghanistan tembak jet Pakistan di Kabul

TENTERA Pakistan membuat rondaan berhampiran sempadan Torkham.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Afghanistan mengesahkan menembak jet-jet Pakistan di Kabul selepas gegaran letupan dan bunyi tembakan menggegarkan ibu kota, sehingga memburukkan lagi ketidakstabilan di rantau Asia yang sudah tergugat akibat serangan AS-Israel terhadap Iran serta serangan balas menyasarkan negara-negara Teluk.

Negara yang diperintah Taliban itu berdepan serangan Pakistan terhadap kemudahan kerajaan sepanjang minggu lalu, berikutan tuduhan menjadi tempat perlindungan militan yang dinafikan Afghanistan.

Pertempuran paling sengit antara kedua-dua jiran itu sejak beberapa tahun lalu menimbulkan kebimbangan tentang konflik berpanjangan sepanjang sempadan sekitar 2,600 kilometer (km).

Beberapa negara termasuk Qatar dan Arab Saudi menyeru kedua-dua negara bertenang serta menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi perjanjian gencatan senjata.

Letupan bergema di beberapa kawasan Kabul sebelum matahari terbit, diikuti dengan tembakan, menurut saksi Reuters

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, bunyi letupan kuat itu adalah hasil tindakan tentera Afghanistan menyerang pesawat Pakistan di ibu kota.

“Serangan pertahanan udara telah dijalankan di Kabul terhadap pesawat Pakistan. Penduduk Kabul tidak perlu bimbang,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri Pakistan, kementerian maklumat dan tentera bagaimanapun tidak memberi sebarang komen.

Keganasan itu berlaku susulan serangan udara di Afghanistan minggu lalu yang menurut Pakistan menyasarkan infrastruktur militan. Afghanistan menyifatkan serangan tersebut sebagai perlanggaran kedaulatan dan mengumumkan operasi serangan balas di sepanjang sempadan bersama.

Iran, yang berkongsi sempadan dengan Afghanistan dan Pakistan, menawarkan bantuan untuk memudahkan dialog sebelum negaranya diserang pada Sabtu oleh Israel serta AS yang berhasrat mengecilkan keupayaan ketenteraan Teheran.

Pakistan mendakwa Afghanistan menjadi tempat perlindungan militan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang menjalankan pemberontakan di dalam Pakistan.

Tuduhan tersebut dinafikan oleh Kabul, sambil menegaskan wilayah Afghanistan tidak dibenarkan digunakan terhadap negara lain dan cabaran keselamatan Pakistan adalah urusan dalaman mereka.

Sumber keselamatan Pakistan berkata, operasi Ghazab Lil Haq sedang dijalankan dan pasukan mereka telah memusnahkan pos serta kem Afghanistan.

Usaha diplomatik dipergiatkan, dengan Arab Saudi, Russia, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru ketenangan selain meminta rundingan diadakan segera. 

AS dilaporkan menyatakan sokongan terhadap hak Pakistan untuk mempertahankan diri. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN