ISLAMABAD: Pakistan mengebom bandar-bandar Afghanistan, Kabul dan Kandahar pada Jumaat, beberapa jam selepas kawasan sempadan negaranya diserang oleh negara jirannya itu.
Pasukan Afghanistan menyerang tentera sempadan Pakistan dalam apa yang menurut kerajaan Taliban adalah tindakan balas terhadap serangan udara maut sebelum ini.
Kedua-dua pihak tentera berkata, mereka telah membunuh puluhan anggota tentera dalam keganasan di sempadan itu.
Ia berlaku susulan beberapa serangan Pakistan ke atas Afghanistan serta pertempuran di sepanjang sempadan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Beberapa sasaran pertahanan Taliban Afghanistan telah diserang di Kabul, wilayah Paktia dan Kandahar,” kata Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar dalam hantaran di platform X.
Di ibu negara Afghanistan, pasukan AFP mendengar bunyi jet dan beberapa letupan kuat, diikuti tembakan, selama lebih dua jam.
Seorang wartawan AFP di bandar selatan Afghanistan, Kandahar, tempat Pemimpin Tertinggi, Hibatullah Akhundzada berpangkalan berkata, beliau mendengar jet-jet terbang di ruang udara.
Kerajaan Taliban mengesahkan serangan udara Pakistan itu, dengan jurucakap Zabihullah Mujahid berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beberapa jam sebelum itu, Mujahid mengumumkan operasi serangan besar-besaran di sempadan sebagai tindak balas terhadap perlanggaran berulang oleh tentera Pakista.
Kementerian Pertahanan Afghanistan melaporkan lapan anggotanya terbunuh dalam serangan darat tersebut.
Seorang pegawai Afghanistan melaporkan beberapa orang awam cedera berhampiran lintasan sempadan Torkham, di sebuah kem untuk mereka yang kembali dari Pakistan.
“Sebutir peluru mortar telah mengenai kem itu dan malangnya tujuh pelarian kami cedera dan keadaan seorang wanita adalah serius,” kata ketua maklumat di wilayah Nangarhar,. Qureshi Badlun
Sempadan itu sebahagian besarnya ditutup sejak pertempuran pada Oktober tahun lalu walaupun rakyat Afghanistan yang pulang dibenarkan melintasinya.
Jurucakap kerajaan Taliban dikenali sebagai Mujahid memberitahu AFP bahawa beberapa anggota tentera Pakistan telah ditangkap hidup-hidup, dakwaan yang dinafikan oleh pejabat perdana menteri di Islamabad.
Operasi ketenteraan itu menyusuli serangan Pakistan ke atas wilayah Nangarhar dan Paktika dari malam Sabtu hingga awal Ahad minggu lalu, yang menurut misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan telah membunuh sekurang-kurangnya 13 orang awam.
Kerajaan Taliban berkata, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan menafikan pengumuman Pakistan bahawa operasi ketenteraan itu menyebabkan lebih 80 militan terbunuh.
Kedua-dua pihak juga melaporkan tembakan rentas sempadan pada Selasa, namun tanpa kemalangan jiwa.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan kebanyakan lintasan sempadan darat ditutup sejak pertempuran maut pada Oktober tahun lalu yang mengorbankan lebih 70 orang di kedua-dua pihak.
Beberapa pusingan rundingan diadakan selepas gencatan senjata awal yang diusahakan oleh Qatar dan Turkiye, namun usaha tersebut gagal menghasilkan perjanjian berkekalan. – AFP










