TEL AVIV – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh pada Ahad apabila sebuah peluru berpandu Iran mengenai sebuah bangunan kediaman di bandar Beit Shemesh, Israel, menurut pegawai kecemasan dalam serangan paling maut di Israel sejak perang bermula.
Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom (MDA) berkata di kawasan Beit Shemesh, anggota-anggota paramedik dan petugas perubatan kecemasan MDA telah mengesahkan kematian sembilan orang, selain 28 lagi cedera, dengan polis menyatakan ia adalah hentaman terus ke sebuah bangunan.
Puluhan anggota penyelamat Israel dikerahkan ke lokasi kejadian dan seorang jurugambar AFP melihat pasukan mengeluarkan satu mayat dari runtuhan bangunan yang menerima kesan terburuk serangan peluru berpandu itu.
“Mereka membawa pelbagai jenis peralatan untuk cuba mengesan mangsa,” kata seorang lagi jurugambar AFP di lokasi serangan.
“Kelihatan masih ada orang di bawahnya,” tambahnya, ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian.
Gambar dari lokasi menunjukkan sebuah rumah musnah akibat letupan dengan bumbungnya hancur menjadi konkrit remuk dan besi berpintal.
Pasukan penyelamat terus mencari mangsa terselamat di bawah timbunan runtuhan.
“Apabila saya tiba, saya melihat satu pemandangan yang mengerikan,” kata Yehuda Shlomo, seorang paramedik MDA dalam satu kenyataan.
“Saya melihat kerosakan struktur yang teruk, asap di udara dan keadaan yang sangat kacau, dengan puluhan mangsa ketakutan keluar dari bangunan yang rosak,” tambahnya.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, membunuh beberapa pemimpin kanan Iran, termasuk Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei. Teheran bertindak balas dengan siri serangan dron dan peluru berpandu.
Israel dan AS melancarkan serangan serupa ke atas Iran pada Jun tahun lalu, mencetuskan perang selama 12 hari sebelum gencatan senjata diumumkan. – AFP/AGENSI










