WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 200 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) cedera dalam perang AS-Israel terhadap Iran, menurut jurucakap tentera negara itu pada Isnin.
Jurucakap Komando Pusat AS, Kapten Tim Hawkins berkata, kira-kira 200 anggota cedera sejak pelancaran Operasi Epic Fury.
“Sebahagian besar kecederaan adalah ringan dan 180 anggota telah kembali bertugas,” katanya dalam kenyataan kepada The Guardian.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jenis kecederaan atau punca insiden berkenaan apabila diminta mengulas lanjut.
ABC News sebelum ini melaporkan kecederaan yang dialami termasuk melecur, luka akibat serpihan serta kecederaan otak traumatik (TBI), memetik pegawai AS yang tidak dinamakan.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 10 anggota dilaporkan mengalami kecederaan serius, menurut Hawkins.
Sehingga semalam, 13 anggota tentera AS dilaporkan terkorban dalam perang dengan Iran. Enam kru meninggal dunia minggu lalu apabila sebuah pesawat pengisian bahan api tentera AS terhempas di barat Iraq.
Enam anggota tentera AS turut terbunuh apabila sebuah dron Iran menyerang pusat operasi di pelabuhan awam di Kuwait, manakala seorang anggota lagi meninggal dunia selepas cedera dalam serangan ke atas pangkalan udara Prince Sultan di Arab Saudi.
Lebih 1,300 rakyat Iran terkorban, menurut duta negara itu ke PBB dalam kemas kini minggu lalu, selain ratusan orang awam di Lubnan dan 15 orang di Israel.
Presiden AS, Donald Trump, setakat ini mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai konflik itu, sebelum ini menyeru sekutu Barat untuk memasuki perang dan melindungi Selat Hormuz susulan kebimbangan gangguan bekalan minyak global.
Namun, pada masa sama Trump mencadangkan AS tidak perlu mengambil tindakan ketenteraan kerana negara itu ‘mempunyai banyak minyak’.










