169 terkorban dalam serangan mengejut - Utusan Malaysia

169 terkorban dalam serangan mengejut

SEORANG anggota SPLA-IO membawa mesingan di Akobo, bulan lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUBA: Pihak berkuasa Sudan Selatan mengesahkan sekurang-kurangnya 169 orang termasuk pegawai kanan kerajaan, terbunuh pada Ahad apabila sekumpulan lelaki tidak dikenali melancarkan serangan nekad di sebuah kawasan di utara negara tersebut.

Menteri Penerangan Kawasan Pentadbiran Ruweng, James Monyluak Mijok menyifatkan serangan itu dilakukan oleh berpuluh-puluh pemuda bersenjata yang datang dari negeri jiran, Unity dan mempunyai kaitan dengan Tentera Pembebasan Rakyat Sudan dalam Pembangkang (SPLA-IO).

Bagaimanapun, pihak SPLA-IO menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu dan menuduh pihak berkuasa negeri Unity cuba mempolitikkan keganasan tersebut. 

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah berulang kali memberi amaran bahawa negara itu berisiko terjerumus kembali ke kancah perang saudara berskala penuh.

“Mangsa yang maut termasuk 90 orang kanak-kanak, wanita dan warga emas serta 79 anggota pasukan keselamatan serantau, termasuk polis,” kata Mijok.

Tambah beliau, 50 orang lagi mengalami kecederaan dan majoriti daripada mereka telah dibawa ke Kawasan Pentadbiran Abyei yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Mijok memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa penyerang memasuki daerah Abiemnom di Ruweng sebelum subuh pada Ahad, kira-kira pukul 4.30 pagi waktu tempatan, ketika penduduk masih tidur dan melakukan serangan mengejut terhadap mereka.

“Pasukan kerajaan di lokasi kejadian kalah dari segi bilangan anggota. Penyerang bertindak membakar rumah dan pasar dalam pertempuran yang berlarutan antara tiga hingga empat jam,” katanya. 

Beberapa pegawai kanan tempatan termasuk pesuruhjaya daerah dan pengarah eksekutif turut terbunuh dalam serangan itu.

Mijok menyatakan bahawa pasukan kerajaan kini telah berjaya menghalau penyerang keluar dan pihak berkuasa kini mempunyai kawalan penuh ke atas kawasan tersebut.

Beliau turut mendakwa bahawa pegawai di negeri Unity pasti tahu mengenai rancangan untuk menyasarkan Ruweng. Setakat ini, pihak berkuasa negeri Unity belum memberi maklum balas terhadap tuduhan tersebut dan punca sebenar yang mencetuskan serangan itu masih belum jelas. – BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN