15 maut serangan AS-Israel di Isfahan - Utusan Malaysia

15 maut serangan AS-Israel di Isfahan

Seorang anggota bomba berdiri di hadapan runtuhan sebuah bangunan kediaman di Teheran pada Khamis lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Serangan peluru berpandu ke atas kawasan perindustrian di bandar tengah Iran, Isfahan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dengan para pekerja berada di dalam sebuah kilang ketika serangan berlaku, menurut laporan media Iran.

Menurut agensi berita separa rasmi Fars, serangan itu mengenai sebuah kilang yang menghasilkan peralatan pemanasan dan penyejukan semalam, iaitu hari bekerja di Iran.

Ia menyatakan serangan tersebut dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Perang yang berlaku pada hari ke-15 semalam, menurut Kementerian Kesihatan Iran telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,444 orang dan mencederakan lebih 18,500 lagi sejak serangan AS-Israel bermula pada 28 Februari.

Bandar-bandar di seluruh Iran telah berulang kali menjadi sasaran sejak perang tercetus.

Pada 8 Mac, serangan AS-Israel merosakkan konsulat Russia di Isfahan dan mencederakan sejumlah kakitangan. Moscow menanggap serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan konvensyen antarabangsa.

Kementerian Kebudayaan Iran pada Sabtu berkata, sebanyak  56 muzium dan tapak bersejarah telah mengalami kerosakan, termasuk Dataran Naqsh-e Jahan, mercu tanda abad ke-17 di Isfahan serta Istana Golestan di Teheran yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia  Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut UNESCO, ia  berasa amat bimbang dan memaklumkan bahawa empat daripada 29 Tapak Warisan Dunia Iran telah terjejas.

Secara berasingan pada Sabtu, tentera Iran mengesahkan bahawa Brigadier Jeneral Abdullah Jalali-Nasab terbunuh dalam serangan Israel dengan menyatakan beliau gugur syahid ketika mempertahankan negara.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menolak usaha negara-negara serantau untuk menjadi perantara gencatan senjata.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih memberitahu agensi berita Reuters bahawa Trump  memberi tumpuan untuk meneruskan operasi perang terhadap Iran.

“Beliau tidak berminat dengan perkara itu (gencatan senjata) buat masa ini dan kami akan terus melaksanakan misi tanpa henti,” kata pegawai itu.

Iran juga menolak sebarang rundingan selagi serangan masih berterusan, lapor Reuters dengan memetik seorang pegawai Iran yang enggan namanya didedahkan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN