Virus selesema tertua di dunia ditemukan - Utusan Malaysia

Virus selesema tertua di dunia ditemukan

Spesimen anatomi bersejarah dari akhir tahun 1700-an di Muzium Anatomi Hunterian, University Glasgow. - Foto Muzium Anatomi/The Hunterian, Universiti Glasgow
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GLASGOW: Sekumpulan saintis berjaya menemukan virus selesema tertua di dunia menerusi sampel tisu seorang wanita yang dijangkiti kuman itu kira-kira 250 tahun lalu.

Penemuan itu dianggap sebagai kejayaan besar dalam bidang penyelidikan kerana ia merupakan virus RNA manusia tertua yang pernah ditemukan setakat ini. 

Walaupun kesan virus purba seawal 50,000 tahun pernah ditemukan pada rangka manusia sebelum ini, penemuan tersebut sebahagian besarnya melibatkan virus asid deoksiribonukleik (DNA).

Virus RNA, termasuk rhinovirus yang menyebabkan selesema biasa, lebih sukar dikesan.

Ini kerana bahan genetiknya yang tidak stabil dan pada kebiasaannya akan terurai dalam tempoh beberapa jam selepas kematian. Justeru, kejayaan kajian ini amat bergantung kepada kualiti sampel yang terpelihara dengan sangat baik.

Bagi mengatasi cabaran tersebut, para saintis telah mengunjungi Muzium Anatomi Hunterian di Universiti Glasgow, Scotland di mana sampel tisu paru-paru disimpan dalam alkohol. 

Sampel berkenaan milik dua individu iaitu seorang wanita dari London yang meninggal dunia sekitar tahun 1770-an.

Namun, satu lagi sampel adalah milik seorang lagi wanita yang tidak diketahui jantinanya tetapi meninggal dunia pada tahun 1877. Kedua-duanya mempunyai rekod penyakit pernafasan yang teruk.

Penyelidik-penyelidik akhirnya berjaya membina semula genom RNA lengkap dengan rhinovirus daripada wanita abad ke-18 tersebut. 

Analisis lanjut mendedahkan bahawa beliau juga dijangkiti bakteria yang menyebabkan penyakit pernafasan, termasuk Streptococcus pneumoniae, Haemophilus influenzae dan Moraxella catarrhalis.

Genom virus yang dibina semula itu kemudian dibandingkan dengan pangkalan data besar milik Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH). 

Hasil kajian mendapati ia tergolong dalam kumpulan human rhinovirus A dan mewakili keturunan yang telah pupus, namun mempunyai kaitan rapat dengan genotip moden yang dikenali sebagai A19. – AGENSI

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN