LONDON: Pelawat ke Britain dari 85 negara kini diwajibkan untuk mendapatkan permit elektronik sebelum perjalanan mereka atau akan dilarang menaiki penerbangan dan melancong di negara itu, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Skim Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA) memerlukan semua pelawat termasuk dari Singapura dan Malaysia yang tidak memerlukan visa untuk memasuki Britain supaya membeli permit pra-perjalanan secara dalam talian dengan kos 16 pound (RM84).
Skim ini diperkenalkan pada 2023 dan diperluas kepada pelawat dari Eropah pada April 2025, tetapi sebelum ini tidak dikuatkuasakan secara ketat.
Bagaimanapun lapor Reuters, mulai 25 Februari, memiliki ETA adalah wajib untuk pelawat ke Britain.
Ini bermakna syarikat penerbangan akan menghalang penumpang daripada menaiki pesawat jika mereka tidak mempunyai ETA, eVisa, atau dokumen sah lain, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Warganegara Britain dan Ireland, termasuk yang memiliki dua kewarganegaraan serta mereka yang mempunyai hak tinggal di Britain, dikecualikan daripada keperluan ETA.
“Skim ETA adalah sebahagian penting daripada usaha kami untuk mengukuhkan keselamatan sempadan UK, sambil menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan moden untuk pelawat dan rakyat Britain,” kata Menteri Migrasi, Mike Tapp.
Pada Oktober 2025, Kesatuan Eropah (EU) mula melaksanakan pemeriksaan keselamatan sempadan pasca-Brexit yang lama tertangguh untuk warganegara Britain yang memasuki blok itu. Britain secara rasmi meninggalkan EU pada 2020.
Sistem keluar dan masuk EU menghapuskan keperluan untuk mengecap pasport secara manual di sempadan luar EU dan sebaliknya mencipta rekod digital.
Bagaimanapun, para pelancong mengadu pengenalan sistem baharu ini menyebabkan kelewatan di beberapa lapangan terbang dan pemimpin industri bimbang pelaksanaan sepenuhnya pada musim Easter boleh menimbulkan gangguan meluas.










