DUBAI: Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berjaya menggagalkan beberapa siri serangan siber terancang yang menyasarkan infrastruktur digital dan sektor penting negara itu, menurut agensi berita rasmi negara berkenaan.
Pihak berkuasa melaporkan serangan tersebut melibatkan cubaan menceroboh rangkaian, melancarkan perisian tebusan dan menjalankan operasi pancingan data secara sistematik yang menyasarkan platform rasmi.
Agensi berita itu berkata, penyerang turut cuba mengeksploitasi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membangunkan alat siber yang lebih canggih, sehingga meningkatkan kerumitan dan potensi impak operasi tersebut.
Tiada entiti atau pelaku negara tertentu dinamakan berhubung cubaan pencerobohan itu.
Pegawai juga tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai skala cubaan pencerobohan atau potensi kerosakan yang berjaya dielakkan.
Insiden berkenaan turut meningkatkan kebimbangan di peringkat serantau terhadap ancaman keselamatan siber yang menyasarkan infrastruktur kritikal dan sistem kerajaan, ketika negara-negara berdepan serangan digital yang semakin kompleks.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Ketua Majlis Keselamatan Siber UAE, Mohamed Al Kuwaiti berkata bahawa terdapat antara 90,000 hingga 200,000 cubaan perlanggaran yang mensasarkan negaranya setiap hari kebanyakannya ditaja oleh negara-negara tertentu.
Beliau berkata, negaranya telah melabur dalam sistem pertahanan utama untuk melindungi infrastruktur awam dan swasta.
“Ketegangan geopolitik serantau merentasi Afrika Utara, Teluk dan ruang maklumat Asia Barat yang lebih luas telah meningkatkan naratif dalam talian yang menyasarkan UAE,” katanya.
“Wacana yang didorong konflik, ketegangan diplomatik dan aktiviti penyebaran maklumat palsu yang diperkasakan AI telah meningkatkan penyebaran khabar angin serta mobilisasi aktivis pengodam di seluruh ekosistem digital serantau.
Asia merangkumi kira-kira 66.7 peratus asal pelaku yang ditaja negara-negara tertentu dan Eropah 14.3 peratus.
Pelaku dari Asia Barat atau rentas wilayah membentuk selebihnya, lapor agensi berita Wam tanpa menyatakan negara tertentu.
Negara-negara Barat sejak sekian lama menamakan Russia, China, Korea Utara dan Iran sebagai empat negara besar yang dipercayai melakukan serangan siber,
Namun, negara-negara itu menafikan melakukan serangan tersebut. – AGENSI










