Jerat along digital, ancam musnah reputasi mangsa

Along digital ugut cemar reputasi peminjam

SIRAJ JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peminjam wang haram kini menggunakan pemasaran digital untuk mempromosikan produk dan menarik pelanggan baru berbanding menampal poster di bangunan dan tiang-tiang di kawasan ramai penduduk.

Malah, peminjam wang haram telah membangunkan aplikasi sendiri, menggunakan maklumat yang diperoleh dari pelbagai platform dan mempromosikan pinjaman di media sosial dengan cappaian lebih jauh.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, aplikasi yang meragukan juga ancaman kerana sindiket dapat memperoleh data seperti senarai kenalan, gambar dan data berkaitan yang dieksploitasi untuk ceti haram berkenaan.

Katanya, ‘along digital’ kini giat mempromosikan pinjaman terutama pada musim perayaan melalui platform media sosial dan kaedah pengiklanan mereka hampir sama seperti syarikat-syarikat kredit terkemuka tetapi mengumpan mangsa dengan syarat terlalu mudah dan tidak masuk akal.

“Ia termasuk kelulusan pantas, tidak memerlukan dokumen dan menerima peminjam yang disenarai hitam serta menyasarkan golongan yang gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan sah. Taktik tersebut bertujuan menarik individu yang berada dalam keadaan terdesak termasuk mereka yang mempunyai hutang sedia ada atau tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Mangsa kebiasaannya akan diminta memuat turun aplikasi pinjaman tertentu yang sebenarnya turut berfungsi sebagai ancaman siber kepada peranti pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mendakwa sindiket peminjam wang haram menggunakan aplikasi spyware untuk mengumpul data dan mengugut peminjam yang gagal membuat bayaran dengan menyebarkan gambar, mesej palsu dan tuduhan tidak berasas kepada ahli keluarga serta kenalan.

Katanya, terdapat kes mangsa menerima wang tertentu tanpa persetujuan sebelum dipaksa membayar balik dengan jumlah lebih tinggi.

“Orang ramai diingatkan tidak menjadikan along sebagai pilihan dalam keadaan terdesak kerana tindakan tersebut hanya menambah beban kewangan dan mendedahkan diri serta keluarga kepada risiko jenayah siber yang lebih serius,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia, Datuk Sheeda Romli berkata, musim perayaan yang memerlukan persiapan dan perbelanjaan sering mendorong orang ramai berhutang, sekali gus mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman mudah yang ditawarkan ceti haram.

Katanya, kecenderungan menyediakan kelengkapan hari raya, membeli pakaian baharu dan menganjurkan jamuan sering menyebabkan ramai orang bertindak di luar kemampuan kewangan sebenar.

“Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila ada pihak mengambil kesempatan menawarkan pinjaman segera dengan janji kelulusan pantas tanpa prosedur ketat sehingga mempengaruhi pengguna yang terdesak.

“Tawaran begitu kebiasaannya mengenakan kadar faedah tinggi dan syarat tidak jelas yang akhirnya menyebabkan peminjam terpaksa menanggung beban bayaran balik jauh lebih besar daripada jumlah pinjaman asal.

“Orang ramai diingatkan supaya mengawal perbelanjaan, merancang kewangan lebih awal dan tidak mudah terpedaya dengan janji manis pinjaman mudah agar kemeriahan perayaan tidak bertukar menjadi beban hutang berpanjangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN