WASHINGTON: Sembilan negara anggota Lembaga Keamanan yang dipimpin Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berikrar menyumbang AS$7 bilion (RM27 bilion) bagi usaha bantuan di Gaza.
Negara-negara tersebut adalah Kazakhstan, Azerbaijan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan dan Kuwait.
Perkara itu diumumkan Trump pada mesyuarat sulung kumpulan itu di Washington, DC, kelmarin.
Qatar, Arab Saudi dan Kuwait masing-masing menyumbang AS$1 bilion (RM3.9 bilion), menurut wakil negara berkenaan pada mesyuarat itu, namun pecahan penuh jumlah sumbangan belum diumumkan.
Bagaimanapun, pembantu kepada Presiden Azerbaijan, Hikmet Hajiyev, mempertikai penyertaan negaranya dalam senarai awal penderma.
Menerusi hantaran di platform X, beliau berkata, walaupun penyertaan Azerbaijan dalam projek pelaburan di Gaza melalui Sidang Kemuncak Keamanan mungkin dipertimbangkan, negara itu tidak diperuntukkan dalam projek kewangan berjumlah AS$7 bilion seperti diumumkan pada sesi berkenaan.
Dalam ucapan pembukaan, Trump menegaskan lebih banyak pihak akan turut menyumbang kepada dana tersebut.
“Ini merupakan mesyuarat pertama kami, tetapi setiap dolar yang dibelanjakan merupakan pelaburan untuk kestabilan dan harapan bagi sebuan rantau yang baharu serta harmoni, rantau yang begitu penting, dinamik dan luar biasa,” kata Trump.
Beliau berkata, AS akan melabur AS$10 bilion (RM39 bilion), namun difahamkan peruntukan itu adalah bagi operasi keseluruhan Lembaga Keamanan dan tidak semestinya untuk Gaza.
Beliau turut mendakwa, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan akan mengumpul dana AS$2 bilion (RM7.8 bilion) untuk Gaza. – AGENSI










