Satelit dedah peningkatan pesawat tentera AS di pangkalan udara Arab Saudi

Satelit dedah peningkatan pesawat tentera AS di pangkalan udara Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Imej satelit mendedahkan peningkatan jumlah aset ketenteraan, termasuk pesawat pengisi bahan api di sebuah pangkalan udara Arab Saudi yang digunakan tentera Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh empat hari pada Februari.

Perkembangan itu berlaku ketika Washington sedang memperkukuh kekuatannya di rantau tersebut di tengah ketegangan dengan Iran.

Arab Saudi, merupakan sekutu lama AS, memaklumkan kepada Iran pada Januari bahawa ia tidak akan membenarkan ruang udara atau wilayahnya digunakan untuk sebarang tindakan ketenteraan terhadap Tehran.

Iran sebelum ini mengadakan pusingan ketiga rundingan tidak langsung dengan Washington pada Khamis lalu berkaitan program nuklearnya.

Dalam imej satelit beresolusi tinggi yang dirakam pada 21 Februari, sekurang-kurangnya 43 buah pesawat kelihatan di Pangkalan Udara Prince Sultan, Arab Saudi, pangkalan yang telah menempatkan pasukan tentera AS selama beberapa dekad, berbanding hanya 27 buah pesawat dalam imej bertarikh 17 Februari.

Jumlah tersebut bagaimanapun menurun kepada 38 buah dalam imej bertarikh 25 Februari.

Antara pesawat yang dikesan dalam imej 21 Februari itu termasuklah 13 buah Boeing KC-135 Stratotanker dan enam buah Boeing E-3 Sentry (AWACS), daripada keseluruhan 29 buah pesawat besar bersayap condong yang diletakkan di pangkalan tersebut, lapor penganalisis imej forensik Contested Ground, William Goodhind kepada Reuters.

Berdasarkan kiraan Reuters menerusi imej beresolusi sederhana pada 17 Februari pula, hanya 11 buah pesawat besar bersayap condong yang kelihatan pada waktu itu.

Oman, yang bertindak sebagai orang tengah antara AS dan Iran, menyatakan kedua-dua pihak mencapai kemajuan dalam rundingan pada Khamis lalu walaupun tiada tanda kejayaan besar yang mampu mengelakkan potensi serangan AS.

Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi berkata, kedua-dua pihak merancang untuk menyambung semula rundingan dalam masa terdekat selepas proses konsultasi di ibu negara masing-masing, dengan perbincangan peringkat teknikal dijadualkan berlangsung minggu depan di Vienna.

Presiden AS, Donald Trump pada 19 Februari memberi amaran Iran mesti mencapai persetujuan dalam tempoh 10 hingga 15 hari, atau berdepan dengan perkara yang sangat buruk.

Perbandingan imej satelit awal Februari dengan imej Januari turut menunjukkan pengumpulan pesawat dan peralatan ketenteraan lain di seluruh rantau berkenaan.

Imej satelit terbaru juga menunjukkan Iran sedang giat membaiki dan memperkukuh tapak-tapak strategik, termasuk sebuah tapak tentera sensitif yang dilaporkan pernah dibom oleh Israel pada 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN