Saintis rungkai misteri tapak mendarat di Bulan - Utusan Malaysia

Saintis rungkai misteri tapak mendarat di Bulan

SAINTIS berjaya mengesan pendaratan kapal angkasa Luna 9 di Bulan. - Foto Science Photo Library/Detlev Van Ravenswaay
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sekumpulan saintis mendakwa berjaya mengesan lokasi pendaratan sebuah kapal angkasa milik Kesatuan Soviet yang hilang sejak lebih 60 tahun lalu di permukaan Bulan. 

Pada 3 Februari 1966, kapal angkasa tanpa pemandu, Luna 9 telah melakar sejarah kerana berjaya melakukan pendaratan di Bulan buat pertama kali, iaitu tiga tahun sebelum misi Apollo milik Amerika Syarikat (AS) bermula.

Selepas berjaya menghantar semula imej permukaan Bulan ke Bumi, bateri kapal angkasa Luna 9 dilaporkan kehabisan kuasa. Susulan proses pendaratan yang agak kucar-kacir, lokasi terakhir kapal angkasa tersebut mendarat kekal menjadi misteri selama berdekad-dekad. 

Namun, para saintis percaya mereka akhirnya telah berjaya menjejaki lokasi pendaratan terakhir Luna 9.

Dalam kertas kajian mereka yang diterbitkan dalam jurnal Space Exploration, para penyelidik mengenal pasti satu lokasi sekitar 7.029 darjah Utara dan –64.329 darjah Timur di Bulan.

Kejayaan itu dicapai melalui penggunaan algoritma pembelajaran mesin yang direka khas untuk meneliti ratusan imej yang dirakam oleh Pengorbit Peninjau Lunar (LRO) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA). 

Pasukan penyelidik memfokuskan pencarian mereka di kawasan asal pendaratan asal Kesatuan Soviet yang kini Russia seluas 4.8 kilometer (km) x 4.8km di permukaan Bulan.

Algoritma yang dinamakan ‘You-Only-Look-Once—Extraterrestrial Artifact’ (YOLO-ETA) itu berjaya menrmukan beberapa kesan yang tidak pernah dilihat sebelum ini pada permukaan Bulan. 

Terletak di kawasan Oceanus Procellarum, imej tersebut menunjukkan gangguan pada tanah yang dipercayai berpunca daripada impak pendaratan Luna 9 yang melantun semasa menurun.

Berbeza dengan kapal angkasa misi Apollo 11 pada tahun 1969, Luna 9 menggunakan kapsul pendaratan sfera yang menghentam permukaan bulan dengan kelajuan yang agak tinggi. 

Sebelum impak berlaku, kapal angkasa tersebut melepaskan enjin brek dan mengembangkan beg udara untuk melindunginya daripada hentaman pada kelajuan 22 kilometer sejam.

Pakar-pakar percaya kapal angkasa itu melantun beberapa kali dalam graviti Bulan yang rendah sebelum berhenti sepenuhnya dan menstabilkan kedudukannya menggunakan empat panel berbentuk kelopak bunga. 

Tanpa panel solar, bateri Luna 9 hanya bertahan selama tiga hari selepas sempat menghantar sembilan imej ke Bumi. Ketidaktentuan lokasi akhirnya sebelum ini berpunca daripada pengiraan trajektori yang kurang tepat serta proses pendaratan yang tidak stabil. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN