LONDON: Ancaman keruntuhan Glasier Thwaites di Antartika yang berisiko mengakibatkan kenaikan paras air laut ke tahap sehingga membawa kemusnahan telah mendorong sekumpulan saintis antarabangsa mencadangkan satu pelan luar biasa bagi menghalang bencana itu daripada berlaku.
Fenomena yang dikenali sebagai ‘Glasier Kiamat’ itu kini menjadi tumpuan projek mega yang melibatkan pembinaan sebuah dinding gergasi di dasar laut bagi mengelakkan ia terus mencair.
Kumpulan saintis berkenaan merancang untuk membina struktur setinggi 150 meter dan sepanjang 80 kilometer yang merentasi dasar laut pada kedalaman 650 meter.
Projek yang dinamakan sebagai ‘Tirai Dasar Laut’ ini didakwa mampu menghentikan penyusutan Glasier Thwaites dan mampu mengelakkan kesan ngeri pemanasan global.
Untuk rekod, Glasier Kiamat merupakan aliran ais gergasi bersaiz hampir menyamai keluasan negara United Kingdom (UK).
Ia boleh menyimpan bekalan air tawar yang cukup untuk menaikkan paras laut dunia sebanyak 65 sentimeter.
Kajian mendalam mendapati punca utama penyusutan glasier tersebut adalah disebabkan oleh arus air panas. Arus itu menyusup masuk ke dalam ruang antara glasier dan pelantar benua, yang kemudian mencairkan ais dari bahagian bawah.
“Tirai Dasar Laut’ ini akan dipasang di hadapan bahagian glasier yang paling terdedah kepada risiko bagi menghalang arus panas tersebut daripada sampai ke bongkah ais.
Walaupun kos potensi projek itu dianggarkan mencecah lebih AS$80 bilion (RM312 bilion), para saintis menegaskan bahawa jumlah tersebut adalah kecil jika dibandingkan dengan kemusnahan besar yang mampu dihalang oleh dinding tersebut.
Pada masa ini, ‘Tirai Dasar Laut’ masih berada dalam fasa awal pembangunan dan penyelidik-penyelidik masih belum memuktamadkan reka bentuknya secara terperinci.
Bagaimanapun, pelan asas mencadangkan penggunaan fabrik regangan yang diperkukuh, digantung menggunakan elemen apungan dan dilabuhkan ke dasar laut dengan asas yang berat.
Struktur ini akan membentang di sekeliling glasier Antartika tersebut seperti penghadang angin pantai, berfungsi memerangkap air sejuk berhampiran ais sambil menghalang kemasukan air panas. – AGENSI










