MOSCOW: Badan pemantau internet Russia memaklumkan pihaknya kini mengehadkan kelajuan platform pesanan ringkas Telegram atas dakwaan pelanggaran undang-undang.
Langkah itu dilihat sebagai usaha terbaharu Moscow untuk mengalihkan pengguna ke arah perkhidmatan dalam talian domestik yang dikawal lebih ketat.
Pihak berkuasa Russia sebelum ini berulang kali mengancam platform teknologi asing dengan sekatan kelajuan atau pengharaman sepenuhnya jika gagal mematuhi peraturan ditetapkan negara itu.
Antara syarat yang dikenakan termasuk mewajibkan syarikat teknologi menyimpan data pengguna warga Russia di dalam negara, serta mengambil langkah menghalang perkhidmatan mereka daripada digunakan bagi tujuan yang disifatkan Moscow sebagai jenayah dan keganasan.
Bagaimanapun, pengkritik dan kumpulan hak asasi menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan jelas Kremlin untuk memperluas pengawasan dan memperketat kawalan terhadap penggunaan internet, di tengah-tengah tindakan keras terhadap penentang ketika perang di Ukraine berlarutan.
Dalam satu kenyataan yang dipetik media kerajaan, pengawal selia komunikasi, Roskomnadzor menyatakan pihaknya akan terus memperkenalkan sekatan secara berperingkat terhadap Telegram.
Tambah agensi itu, platform berkenaan gagal mematuhi undang-undang negara, namun tidak memberikan perincian lanjut mengenai pelanggaran tersebut.
Setakat ini, Telegram kekal sebagai platform pesanan ringkas dan media sosial yang digunakan secara meluas di Russia.
Malah, kebanyakan tokoh awam utama termasuk agensi kerajaan dan Kremlin aktif mengemas kini maklumat melalui aplikasi tersebut.
Di sebalik sekatan tersebut, Moscow kini sedang mempromosikan pesaing yang disokong kerajaan dikenali sebagai Max, yang menyepadukan fungsi pesanan ringkas dengan sistem pembayaran serta akses kepada perkhidmatan kerajaan.
Pengguna Telegram di seluruh Russia melaporkan gangguan trafik yang perlahan dan kelewatan muat turun pada Selasa, beberapa jam sebelum pengumuman rasmi Roskomnadzor dibuat.
Selain Telegram, pihak pengawal selia turut berusaha mengehadkan platform asing lain, termasuk WhatsApp milik Meta dan YouTube milik Google. -AGENSI










