SONGKHLA: Polis menahan seorang remaja berusia 15 tahun di terminal bas Ubon Ratchathani kelmarin, sehari selepas dia didakwa merompak barangan kemas bernilai kira-kira 2.43 juta baht (RM302,000) dari kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Hat Yai, Thailand.
Menurut Polis Bahagian Pembanterasan Jenayah (CSD), anggota-anggotanya berjaya mengenal pasti suspek selepas meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan bukti lain yang diperoleh semasa siasatan.
Penyiasat berkata, suspek meninggalkan emas curi itu bersama seorang rakan, kemudian terbang dari Hat Yai ke Don Mueang sebelum menunggu sehingga awal pagi untuk menaiki bas dari Mo Chit ke Ubon Ratchathani.
Apabila anggota-anggota polis mendekati dan memperkenalkan diri, remaja itu kelihatan terkejut serta cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan.
Dia dilaporkan mengaku bersalah dan kemudian dibawa untuk disoal siasat di Unit Polis Lebuh Raya Ubon Ratchathani.
Rompakan itu berlaku di Kedai Emas Burapa, cawangan Hat Yai, pada Selasa lalu.
Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki setinggi 160 hingga 170 sentimeter, memakai topi keledar dan pakaian hitam, menyerbu kaunter serta merampas dulang berisi barangan kemas sebelum melarikan diri.
Pengurus kedai, Wuthidet Noo-iad berkata, perompak tidak mengeluarkan sebarang ugutan lisan dan mencuri 33 rantai leher serta gelang emas bernilai 2.43 juta baht.
Polis menemukan rantai leher emas, topi keledar dan sepasang kasut di tempat letak kereta pusat beli-belah berkenaan.
Seorang pengawal keselamatan berkata, suspek tergesa-gesa memasukkan barangan kemas yang dicuri ke dalam poket dan beg galas, sehingga menyebabkan sebahagiannya terjatuh di atas lantai.
Pengawal itu mendakwa, dia tidak ‘berlawan’ dengan perompak terbabit selepas kakitangan kedai menjerit suspek memiliki senjata
Rakaman CCTV turut memaparkan perompak melarikan diri dengan menaiki motosikal..
Polis kemudian mendapati motosikal tersebut dilaporkan hilang di Na Mom pada pukul 3.30 petang waktu tempatan manakala kecurian emas berlaku tiga jam kemudian.- BANGKOK POST










