NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan empat komander kanan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) Sudan ke dalam sekatannya, susulan cadangan dikemukakan Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis.
Cadangan yang dikemukakan pada 17 Februari bertujuan memasukkan pemimpin-pemimpin berkenaan ke dalam sistem sekatan yang ditubuhkan di bawah Resolusi 1591.
Langkah tersebut merangkumi larangan perjalanan dan pembekuan aset bagi membantu membendung keganasan berterusan di Sudan.
Mereka yang disenaraikan termasuk Timbalan Komander RSF, Abdul Rahim Hamdan Dagalo dan abangnya, Mohamed Hamdan ‘Hemedti’ Dagalo, ketua kumpulan itu.
Sekatan tersebut menyasarkan komander RSF untuk Darfur Utara, Gedo Hamdan Ahmed, Al-Fateh Abdullah Idris yang dikenali sebagai Abu Lulu dan komander lapangan, Tijani Ibrahim Musa Mohamed dikenali sebagai Al-Zeir Salem.
Kesatuan Eropah (EU), UK dan AS sebelum ini mengenakan sekatan individu terhadap Gedo Hamdan, Al-Fateh Abdullah dan Tijani Ibrahim atas dakwaan peranan mereka dalam pencabulan hak asasi manusia serta jenayah dilakukan di El Fasher, Darfur Utara.
Langkah itu menandakan peningkatan ketara tekanan antarabangsa terhadap kepimpinan RSF ketika perang di Sudan menghampiri tahun ketiga.
Konflik berkenaan menyebabkan jutaan orang awam kehilangan tempat tinggal dan mendorong sebahagian kawasan negara itu di ambang kebuluran.- AGENSI










