KUALA LUMPUR: Sekatan sementara terhadap aplikasi Grok AI sehingga platform X melaksanakan sepenuhnya piawaian keselamatan dan mematuhi undang-undang Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil susulan kegagalan pihak XCorp dan XAI LLC melaksanakan penjagaan kandungan secara berkesan walaupun notis rasmi telah dikeluarkan pada 3 dan 8 Januari lalu.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan penyedia perkhidmatan internet melaksanakan sekatan akses terhadap Grok bermula 11 Januari sebagai langkah mitigasi risiko segera bagi melindungi pengguna.
“Wakil platform X telah mengesahkan langkah pencegahan dilaksanakan dan aplikasi Grok kini tidak boleh disalahgunakan untuk menghasilkan atau menyunting kandungan lucah, sumbang dan seksual.
“Wakil-wakil platform X turut menegaskan komitmen dan kerjasama mereka untuk mencegah penularan kandungan memudaratkan dalam talian melalui platform X dan aplikasi Grok,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) mengenai langkah susulan sekatan sementara akses AI Grok di Malaysia termasuk daripada aspek kawal selia, penguatkuasaan, pemantauan berterusan serta langkah jangka panjang berhubung kandungan berbahaya dalam media sosial.
Menurut Fahmi, MCMC mengeluarkan notis tambahan pada 16 Januari lalu yang menetapkan XCorp dan XAI LLC segera melaksanakan moderasi kandungan serta mekanisme keselamatan menyeluruh ke atas fungsi multimedia Grok AI.
Katanya, MCMC merekodkan sebanyak 17 aduan berkaitan Grok termasuk enam aduan rasmi, dua laporan polis, lapan aduan melalui media sosial dan satu laporan awal pertama.
“Mesyuarat bersama wakil platform X turut membincangkan komitmen pematuhan undang-undang Malaysia termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025).
“Sekatan dikenakan bukan bersifat kekal, sebaliknya bergantung kepada pengesahan MCMC terhadap keberkesanan langkah keselamatan yang telah dilaksanakan oleh pihak X,” katanya.
Tambah beliau, wakil platform X diminta mengesahkan secara rasmi langkah tersebut kepada MCMC supaya badan kawal selia dapat menilai keberkesanan dan mengambil tindakan susulan jika perlu.
“Langkah kerajaan ini selaras dengan undang-undang Malaysia, prinsip Rukun Negara dan amalan kawal selia antarabangsa.
“Beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Filipina turut mengambil tindakan kawal selia serupa terhadap aplikasi Grok dan platform X bagi menjamin keselamatan dan kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN










