AMMAN: Kehadiran pesawat-pesawat perang Amerika Syarikat (AS) di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, Jordan meningkat secara mendadak, lapor akhbar The New York Times berdasarkan imej satelit dan data pengesanan penerbangan terbaharu.
Imej yang dirakam kelmarin memaparkan lebih 60 pesawat pejuang kini ditempatkan di pangkalan tersebut. Ia merupakan peningkatan tiga kali ganda berbanding jumlah pesawat yang biasa terdapat di fasiliti berkenaan.
Data pengesanan penerbangan turut memaparkan sekurang-kurangnya 68 pesawat pengangkutan telah mendarat di pangkalan itu sejak 15 Februari lalu.
Lebih banyak jet pejuang dipercayai ditempatkan di dalam hangar perlindungan, sehingga memberi gambaran mengenai kehadiran banyak aset tentera AS di rantau itu.
Imej satelit juga mengesan kehadiran jet-jet pejuang kalis radar F-35, yang merupakan aset jauh lebih canggih berbanding pesawat yang biasanya ditempatkan di pangkalan tersebut.
Selain jet pejuang, aset ketenteraan lain yang dikesan adalah termasuk beberapa buah dron, helikopte dan sistem pertahanan udara yang baru dikerahkan.
Peningkatan aset ketenteraan ini menunjukkan tahap kesediaan operasi yang tinggi di tengah-tengah ancaman Washington yang semakin meruncing terhadap Iran.
Bagaimanapun, pegawai kerajaan Jordan mendakwa bahawa penempatan pesawat-pesawat dan peralatan ketenteraan AS itu adalah sebahagian daripada perjanjian pertahanan sedia ada antara Washington dengan Amman.
Pangkalan Udara Muwaffaq Salti telah lama menjadi lokasi utama bagi penyelarasan ketenteraan bersama antara kedua-dua negara, menjadikannya tapak strategik dalam rangkaian pengaturan keselamatan serantau yang lebih luas. – AGENSI










