Jerung ditemukan di laut hampir beku - Utusan Malaysia

Jerung ditemukan di laut hampir beku

SEEKOR ikan jerung ditemukan di dasar laut berhampiran Semenanjung Antartika. - Foto nkfish/UWA/Kelpie Geoscience
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Kemunculan seekor jerung sleeper yang berenang di dasar laut yang gelap dan hampir membeku menafikan teori lama yang menyatakan bahawa haiwan itu tidak mampu hidup di perairan ekstrem Antartika.

Pengarah Pusat Penyelidikan Laut Dalam Minderoo-Universiti Western Australia (UWA), Alan Jamieson mendedahkan bahawa jerung itu berjaya dirakam oleh kamera video pada Januari 2025, dalam satu misi penerokaan di dasar laut yang tidak pernah ditembusi cahaya matahari.

Jerung yang dirakam itu dianggarkan mempunyai saiz yang agak besar, iaitu antara tiga hingga empat meter panjang.

“Kami turun ke sana tanpa menjangka akan melihat jerung kerana terdapat peraturan umum (teori sains) bahawa jerung tidak wujud di Antartika,” kata Jamieson.

“Malah, ia bukan jerung kecil. Ia adalah jerung yang sangat sasa. Makhluk ini ibarat kereta kebal,” tambahnya lagi bagi menggambarkan saiz dan fizikal jerung tersebut.

Kamera tersebut dikendalikan oleh pusat penyelidikan dari UWA dan diletakkan di luar pesisir Kepulauan South Shetland, berhampiran Semenanjung Antartika. Lokasi tersebut terletak jauh di dalam sempadan Lautan Selatan.

Jerung itu ditemui pada kedalaman sekitar 490 meter di mana suhu air berada pada tahap hampir membeku, iaitu sekitar 1.27 darjah Celsius.

Selain jerung, rakaman tersebut turut memaparkan seekor ikan pari spesies skate yang kelihatan tenang di dasar laut walaupun jerung tersebut melintas berhampirannya. 

Kehadiran skate’bagaimanapun tidak mengejutkan kerana saintis sedia maklum bahawa habitat ikan tersebut memang mencecah kawasan sejauh itu ke selatan.

Pakar biologi pemuliharaan dari Universiti Charles Darwin, Peter Kyne, bersetuju bahawa ini adalah kali pertama seekor jerung direkodkan di perairan Antartika.

Beliau berpendapat bahawa perubahan iklim dan pemanasan suhu lautan mungkin menjadi faktor yang mendorong jerung bergerak ke perairan yang lebih sejuk di Hemisfera Selatan. 

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa jerung sleeper mungkin sudah lama mendiami Antartika tanpa disedari oleh manusia sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN