Gara-gara ikut GPS, van terperangkap dalam lumpur - Utusan Malaysia

Gara-gara ikut GPS, van terperangkap dalam lumpur

SEBUAH van terperangkap dalam lumpur selepas pemandunya mengikut peta GPS. - Foto Coastguard
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebuah van penghantaran syarikat peruncitan Amazon terperangkap di kawasan berlumpur dan hampir dihanyutkan air pasang selepas pemandunya mengikut arahan aplikasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) di Britain.

Anggota-anggota pengawal pantai bergegas ke lokasi kejadian di mukim Essex kelmarin selepas menerima laporan mengenai kenderaan tersebut. 

Pemandu van berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan dari Southend-on-Sea menuju ke Pulau Foulness dengan bantuan navigasi GPS.

Menurut kenyataan daripada Pengawal Pantai HM Southend-on-Sea, pemandu van tersebut berjaya menyelamatkan diri dan telah melaporkan kejadian itu kepada majikannya. 

Pihak syarikat kemudian mengatur urusan menunda kenderaan tersebut dengan bantuan seorang petani tempatan.

Imej di lokasi menunjukkan van tersebut akhirnya berjaya diangkat keluar dengan kren dari Muara Thames dan dibawa semula ke kawasan darat yang selamat. 

Lokasi kenderaan tersangkut itu merupakan laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 10 kilometer merentasi kawasan pasir rata di Muara Thames.

Ia sering digelar sebagai laluan paling maut di Britain dan dipercayai telah meragut lebih 100 nyawa pada abad-abad terdahulu, walaupun kematian terakhir yang direkodkan adalah pada tahun 1919.

Kawasan tersebut sangat berbahaya kerana laluannya boleh hilang tetapi muncul semula mengikut pasang surut air laut. Pada kebiasaannya, orang ramai dinasihatkan hanya melalui kawasan tersebut dengan bantuan pemandu arah berpengalaman. 

Pihak pasukan pengawal pantai menyatakan bahawa laluan itu tidak sesuai untuk kenderaan dan menyifatkannya sebagai kawasan amat berbahaya.

Pihak Amazon mengesahkan mereka sedia maklum mengenai kejadian tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN