Jepun cipta kereta api terpantas di dunia - Utusan Malaysia

Jepun cipta kereta api terpantas di dunia

GAMBAR fail menunjukkan kereta api magnet di Trek Ujian Yamanashi Maglev di bandar Fuefuki, wilayah Yamanashi.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Jepun terus memacu teknologi pengangkutan rel dengan mencipta kereta api terpantas di dunia, perkhidmatan pengapungan magnet futuristik yang menelan kos kira-kira 11 trilion yen (RM276 bilion) dan mampu mencapai kelajuan sehingga 603.5 kilometer sejam (km/j).

Projek mega itu dijangka mengubah landskap perjalanan jarak jauh antara beberapa bandar paling sibuk di negara tersebut.

Kereta api yang dikenali sebagai Siri LO itu sedang dibangunkan oleh Syarikat Kereta Api Central Japan (JR Central) sebagai sebahagian daripada laluan landasan pengapungan magnet Chuo Shinkansen.

Semasa ujian rawak pada 2015, Siri LO mencipta rekod kelajuan darat dunia bagi kenderaan rel apabila mencapai 603.5 kmj, mengukuhkan statusnya sebagai kereta api terpantas yang pernah dibina.

Tidak seperti kereta api konvensional, Siri LO tidak bergerak menggunakan roda. Sebaliknya, ia menggunakan teknologi pengapungan magnet.

Ia  membolehkan kereta api tersebut terapung kira-kira 10 sentimeter di atas ‘landasan’..

Kaedah itu hampir menghapuskan sepenuhnya geseran antara kereta api dengan landasan. 

Motor elektrik berkuasa tinggi kemudian menggerakkan gerabak ke hadapan, membolehkan kelajuan luar biasa dicapai sambil mengekalkan kestabilan.

Namun, reka bentuk kereta api itu turut berdepan cabaran kejuruteraan utama. 

Pada kelajuan ekstrem, kereta api yang memasuki terowong boleh menghasilkan gelombang tekanan kuat dikenali sebagai kesan ‘piston’ sehingga  memerlukan penyelesaian teknikal yang kompleks.

Bagi mengatasi masalah itu, Siri LO dilengkapi muncung aerodinamik sepanjang 15 meter, yang membantu mengurangkan bunyi dan perubahan tekanan, sekali gus memberi keselesaan kepada penumpang dan komuniti berhampiran.

Apabila mula beroperasi secara komersial, Siri LO dijangka bergerak pada kelajuan  sekitar 500 hingga 505 km/j.

Fasa pertama laluan Chua Shinkansen akan menghubungkan Tokyo dan Nagoya, dengan masa perjalanan dipendekkan kepada hanya 40 minit. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN