TEHERAN/WASHINGTON: Iran memberi amaran pangkalan, kemudahan dan aset pasukan musuh di rantau Asia Barat akan dianggap sebagai sasaran yang sah sekiranya negara itu menghadapi serangan.
Duta Besar dan Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani menyatakan negaranya tidak akan memulakan sebarang peperangan.
Namun, katanya, jika ia menjadi sasaran pencerobohan ketenteraan, Iran akan bertindak balas.
Dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan badan dunia itu, James Kariuki kelmarin, utusan Iran tersebut berkata, presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengancam untuk menggunakan pangkalan Diego Garcia di Kepulauan Chagos, Lautan Hindi bagi melancarkan serangan ke atas negaranya..
Beliau memberi amaran bahawa langkah sedemikian merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa dan berisiko menjerumuskan rantau itu ke dalam kitaran krisis serta ketidakstabilan baharu.
“Republik Islam Iran telah berulang kali menyatakan pada peringkat tertinggi bahawa ia tidak mencari ketegangan atau perang dan tidak akan memulakan sebarang peperangan. Namun, jika ia menjadi sasaran pencerobohan ketenteraan, Iran akan bertindak balas secara tegas dan berkadar dalam melaksanakan hak mempertahankan diri yang wujud di bawah Perkara 51 Piagam PBB,.” katanya
Reaksi Iran itu dibuat selepas Trump memberi tempoh 10 hari kepada Teheran untuk membuat perjanjian bermakna dengan Washington atau berdepan tindakan buruk, ketika AS mengerahkan beberapa kapal perang, jet pejuang dan aset ketenteraan lain ke rantau itu..
Amaran itu dikeluarkan beberapa hari selepas AS dan Iran mengadakan pusingan kedua rundingan nuklear yang dimediasi oleh Oman di Geneva, Switzerland.
Washington berusaha menghalang Iran memperoleh senjata nuklear, manakala Teheran pula mahu mendapatkan pengecualian daripada sekatan AS.
Amerika turut mengarahkan penghantaran kapal pengangkut pesawat kedua ke rantau tersebut, dengan yang pertama, USS Abraham Lincoln dan hampir 80 pesawatnya diletakkan sekitar 700 kilometer (km) dari pantai Iran pada Ahad lalu, menurut imej satelit.
Iran juga mempamerkan kekuatan ketenteraannya sendiri dengan Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengadakan latihan perang di Selat Hormuz awal minggu ini tetapi sebuah jet pejuangnya terhempas sehingga menyebabkan seorang juruterbangnya maut.
Ahli politik Iran berulang kali mengancam untuk menutup Selat Hormuz, laluan utama minyak dan gas global, dengan kebimbangan konflik AS-Iran boleh mendorong harga minyak meningkat minggu ini.
PERMINTAAN TRUMP
Sebelum ini, akhbar The New York Times melaporkan peningkatan aset ketenteraan AS kini mencapai tahap yang membolehkan Trump memilih untuk melancarkan serangan terhadap Iran seawal hujung minggu ini.
Bagaimanapun, Trump berdepan halangan lain untuk meneruskan kemungkinan rancangannya selepas United Kingdom (UK) menolak permintaan pentadbiran AS menggunakan pangkalan udara tenteranya di Diego Garcia kerana bimbang tindakan itu boleh melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam satu hantaran marah di media sosial pada malam Rabu lalu, Trump memberi amaran kepada Perdana Menteri UK, Keir Starmer bahawa beliau sedang melakukan kesilapan besar dengan kehilangan kawalan ke atas pulau penting itu..
Lebih 50 pesawat Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika telah diterbangkan ke Asia Barat dari pangkalan di UK dan Eropah dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pertikaian berhubung penggunaan tapak tentera British itu didakwa menjadi punca Trump menarik balik sokongannya terhadap perjanjian Starmer untuk menyerahkan Kepulauan Chagos kepada Mauritius.
Berdasarkan syarat perjanjian lama dengan Rumah Putih, pangkalan British hanya boleh digunakan untuk operasi ketenteraan yang dipersetujui terlebih dahulu dengan Pejabat Perdana Menteri UK.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata kelmarin bahawa Israel bersedia menghadapi sebarang senario di tengah ketegangan berterusan dengan Iran dan sedang bekerjasama rapat dengan Amerika.
Beliau membuat kenyataan itu ketika berucap pada majlis tamat latihan pegawai tempur Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Asia Barat berada di persimpangan. Unsur-unsur ekstremis enggan mengalah dan sedang menyusun semula untuk mencabar kita sekali lagi,” katanya.
“Satu perkara pasti jika rejim Ayatollah melakukan kesilapan dan menyerang kami, mereka akan mengalami tindak balas yang tidak dapat mereka bayangkan sekalipun,” katanya yang merujuk kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – AGENSI










