TOKYO – Gabungan parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi memenangi majoriti besar sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi dalam pilihan raya Dewan Rendah yang diadakan semalam.
Stesen penyiaran NHK melaporkan gabungan itu memenangi sekurang-kurangnya 310 daripada 465 kerusi parlimen yang dipertandingkan, berdasarkan tinjaun pengundi, laporan dari pusat pengiraan undi dan sumber-sumber lain.
Keputusan itu memberikan mandat yang kuat kepada perdana menteri wanita pertama Jepun tersebut untuk melaksanakan agenda konservatifnya serta mencorakkan hala tuju negara berpenduduk 123 juta orang bagi tempoh empat tahun akan datang.
Keputusan ini merupakan yang terbaik bagi Parti Liberal Demokratik (LDP) sejak pilihan raya 2017 di bawah mentor Takaichi iaitu bekas perdana menteri Shinzo Abe yang telah mati dibunuh.
LDP sahaja dijangka memenangi kira-kira 300 daripada 465 kerusi parlimen yang dipertandingkan, meningkat daripada 198 sebelum ini dan merampas semula majoriti serta berpotensi memperoleh majoriti besar secara bersendirian tanpa rakan gabungan terbaharunya, Parti Inovasi Jepun.
“Kami secara konsisten menekankan kepentingan dasar fiskal yang bertanggungjawab dan proaktif,” kata Takaichi dengan wajah ceria lewat malam tadi.
“Kami akan mengutamakan kemampanan dasar fiskal. Kami akan memastikan pelaburan yang diperlukan dilaksanakan. Sektor awam dan swasta mesti melabur. Kami akan membina ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
Gabungan pembangkang baharu, Pakatan Reformasi Sederhana yang dibentuk oleh Parti Demokratik Perlembagaan dan bekas rakan gabungan LDP, Komeito, dilihat kehilangan lebih dua pertiga daripada 167 kerusi yang dimilikinya.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut mengucapkan tahniah kepada Takaichi susulan kemenangan gabungannya dalam pilihan raya mengejut itu.
“Tahniah kepada Perdana Menteri Sanae Takaichi dan gabungannya di atas kemenangan besar,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
“Merupakan satu penghormatan bagi saya untuk menyokong anda dan gabungan anda. Saya mengucapkan kejayaan besar dalam melaksanakan agenda konservatif anda,” tulisnya. – AFP










