Dua cedera, belon meledak di dalam lif - Utusan Malaysia

Dua cedera, belon meledak di dalam lif

SEBERKAS belon mula meledak di dalam lif. - Foto X
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang mengerikan memaparkan detik-detik seberkas belon parti meletup dan menghasilkan bebola api besar di dalam sebuah lif yang dinaiki tiga orang. 

Kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba hanya beberapa saat selepas seorang lelaki yang membawa seberkas belon berisi gas itu memasuki ke dalam lif di Menara Amol, Goregaon, pinggir bandar Mumbai, India, pada malam Isnin lalu.

Akibat letupan kuat tersebut, seorang pelajar berusia 21 tahun dikenali sebagai Himani Tapriya mengalami kecederaan melecur pada bahagian lengan, leher dan perut. 

Turut cedera ialah Raju Kumar Mahato, 32, iaitu penghantar yang membawa belon-belon tersebut untuk majlis hari lahir di bangunan kediaman berkenaan.

Kedua-dua mangsa bersama seorang lagi individu di dalam lif tersebut dilaporkan terselamat daripada kecederaan yang lebih parah dalam insiden mengejutkan itu.

Berdasarkan rakaman CCTV, Himani memasuki lif dengan membawa beg pakaian sebelum diikuti oleh Raju yang memegang seberkas belon. 

Seorang lagi lelaki berbaju hitam sempat masuk sebelum api marak dengan pantas menyelubungi ruang lif berkenaan. 

Kesemua mangsa dilihat bergegas keluar menyelamatkan diri sebelum pintu lif tertutup, mankala api terus marak di dalamnya.

Susulan kejadian itu, pihak polis telah memulakan siasatan atas kecuaian terhadap pemilik kedai yang menjual belon tersebut. Ini kerana dia didakwa gagal memberikan arahan keselamatan yang betul kepada penghantarnya. 

Siasatan awal mendapati Raju sedang membawa kira-kira 10 hingga 12 biji belon gas yang dipesan oleh seorang penghuni bangunan, Arpit Jain bagi sambutan hari lahir keluarganya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN