CAUCA: Colombia kini berdepan gelombang keganasan politik paling buruk dalam tempoh beberapa dekad, dengan wilayah Cauca menjadi titik panas ancaman kumpulan gerila bersenjata, menjelang pilihan raya perundangan dan presiden.
Bahaya tersebut jelas dirasai oleh Esneyder Gomez, 46, seorang calon daripada komuniti orang asli yang sedang berkempen untuk memenangi kerusi Kongres Colombia pada pilihan raya 8 Mac ini.
Beliau terpaksa bergerak menggunakan kenderaan perisai di bawah pengawasan kumpulan bersenjata di kawasan pergunungan.
Gomez, yang mewakili etnik minoriti Nasa, nekad mencari sokongan di wilayah barat daya yang dikuasai pemberontak meskipun sedar nyawanya menjadi taruhan.
Beliau menerima ancaman daripada kumpulan gerila selama sedekad, malah kenderaannya pernah ditembak selepas menghadiri satu majlis politik beberapa bulan lalu.
Keganasan terhadap pemimpin komuniti bukan perkara asing. Beberapa hari lalu, ahli perundangan orang asli, Aida Quilcue, dilaporkan diculik di kawasan yang sama sebelum dibebaskan selepas rundingan yang tegang.
“Risiko sentiasa ada,” ujar Gomez. Beliau turut menyifatkan fasa pasca-konflik di Colombia kini lebih mencabar berbanding tempoh konflik itu sendiri, walaupun perjanjian damai ditandatangani oleh kumpulan bersenjata terbesar negara itu lebih 15 tahun lalu.
Menjelang pilihan raya perundangan dan presiden yang dijadualkan pada 31 Mei, sekurang-kurangnya 61 pemimpin politik dilaporkan terbunuh, menurut data daripada Misi Pemerhatian Pilihan Raya negara tersebut.
Gelombang keganasan ini menjadi tumpuan utama pada Jun lalu apabila calon pilihan utama bagi jawatan presiden daripada kem konservatif, Miguel Uribe Turbay, maut ditembak di siang hari ketika sedang berkempen di ibu negara, Bogota.
Menurut pemerhati, calon-calon yang bertanding kini berdepan ancaman keganasan di 130 kawasan perbandaran, yang merangkumi kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan wilayah di negara itu.
Bagi kebanyakan rakyat Colombia, peningkatan insiden berdarah ini mengimbau kembali era hitam pada 1980-an dan 1990-an, di mana lima calon presiden dibunuh semasa zaman kemuncak pengaruh raja dadah seperti Pablo Escobar yang mengawal keadaan di belakang tabir.- AGENSI










