AS tawar pasport di penempatan haram Tebing Barat

AS tawar pasport di penempatan haram Tebing Barat

PEMANDANGAN udara kawasan penempatan Israel di Efrat yang dibina di atas kampung Palestin al-Khader di Tebing Barat yang diduduki.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS:  Amerika Syarikat (AS) akan menyediakan perkhidmatan pasport secara terus di sebuah penempatan haram Israel di Tebing Barat minggu ini.

Lapor Reuters, ia sekali gus menandakan kali pertama pegawai konsular Washington menawarkan perkhidmatan sedemikian kepada penduduk penempatan di wilayah yang diduduki itu, menurut pegawai AS.

Kedutaan AS di Baitulmuqqadis memaklumkan perkhidmatan itu akan bermula pada 27 Februari di Efrat, antara bandar Palestin Baitulaham dan Hebron yang menempatkan ramai pendatang dari AS.

Sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa berkaitan pendudukan ketenteraan. 

Bagaimanapun, Israel mempertikaikan dakwaan tersebut dan ramai dalam kalangan golongan kanan Israel menyokong pengilhakan Tebing Barat. 

Rakyat Palestin sejak sekian lama menuntut Tebing Barat sebagai sebahagian daripada negara merdeka masa depan mereka, bersama Gaza dan Baitulmuqaddis Timur.

Presiden AS, Donald Trump, yang dikenali sebagai penyokong tegar Israel berkata, beliau menentang pencerobohan dan rampasan tanah di Tebing Barat oleh Israel. 

Namun, pentadbirannya tidak mengambil langkah untuk menghentikan aktiviti penempatan, yang menurut kumpulan hak asasi manusia semakin meningkat sejak beliau memegang jawatan tahun lalu.

Kedutaan itu berkata, ia turut merancang menyediakan perkhidmatan serupa secara terus di bandar Ramallah di Tebing Barat, di penempatan haram Beitar Illit berhampiran Baitulaham serta di beberapa bandar dalam Israel seperti Haifa.

Ketika ini, AS hanya menawarkan perkhidmatan pasport dan konsular di kedutaannya di Baitulmuqqadis Barat serta di pejabat cawangan di Tel Aviv. 

Jumlah rakyat dua kewarganegaraan AS-Israel yang kini tinggal di Tebing Barat dianggarkan mencecah puluhan ribu orang.

Katanya, perkhidmatan serupa turut ditawarkan kepada rakyat dwikewarganegaraan Amerika-Palestin di Tebing Barat.

Minggu lalu, Kabinet Israel meluluskan langkah untuk mengetatkan kawalan ke atas Tebing Barat dan memudahkan peneroka membeli tanah, satu tindakan yang disifatkan rakyat Palestin sebagai ‘pencerobohan secara de facto’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×