WASHINGTON: Anggota-anggota ditugaskan melaksanakan operasi keras imigresen yang kontroversi di bandar Minneapolis akan dilengkapi dengan kamera badan susulan insiden tembakan maut sehingga mengorbankan dua warga Amerika Syarikat (AS).
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem berkata, setiap ejen daripada jabatannya di bandar itu, termasuk anggota-anggota agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) akan dibekalkan dengan kamera tersebut.
Beliau juga berkata, kamera badan akan dibekalkan kepada anggota-anggota penguatkuasaan tersebut di seluruh negara apabila menerima peruntukan kewangan.
Langkah itu merupakan usaha terbaharu Rumah Putih untuk meredakan ketegangan selepas dua individu ditembak mati oleh ejen-jen persekutuan di Minneapolis bulan lalu, yang mencetuskan bantahan meluas di seluruh Amerika.
Seorang jururawat berusia 37 tahun, Alex Pretti terbunuh selepas ditembak oleh anggota-anggota imigresen hanya beberapa minggu selepas seorang ibu kepada tiga anak, Renee Good, turut menerima nasib yang sama.
Susulan kematiannya, Noem mendakwa Pretti datang membawa senjata dan sejumlah butir peluru sebelum menyerang anggota-anggota ICE yang kemudian bertindak untuk mempertahankan nyawa mereka.
Namun, beberapa rakaman video yang muncul daripada insiden tembakan itu memaparkan jururawat tersebut hanya memegang sebuah telefon bimbit.
Dalam rakaman itu, dia memegang peranti tersebut ketika anggota-anggota pihak berkuasa menahan lelaki berkenaan dengan salah seorang daripadanya mengeluarkan sepucuk pistol dari seluar.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri sebelum ini menyatakan sekurang-kurangnya empat pegawai ICE yang berada di lokasi kejadian ketika Pretti ditembak memakai kamera badan.
Rakaman tersebut bagaimanapun masih belum didedahkan kepada umum.
Setakat ini juga belum diketahui sama ada mana-mana anggota ICE yang berada di lokasi kejadian kematian Good memakai kamera badan. – AGENSI










