WEF 2026 dibayangi agenda Trump

WEF 2026 dibayangi agenda Trump

BENDERA negara-negara yang menyertai Forum Ekonomi Dunia 2026 di bandar Davos, Switzerland.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAVOS: Pemimpin-pemimpin dunia, ketua syarikat terkemuka, inovator teknologi dan ketua organisasi kemanusiaan berhimpun dalam Forum Ekonomi Dunia 2026 di bandar bersalji Davos di Switzerland bagi membentangkan usaha-usaha menangani isu geopolitik dan pasaran global yang semakin mencabar.

Forum ini berlangsung ketika dunia menghadapi perpecahan global yang belum pernah berlaku, peningkatan ketidaksamaan ekonomi dan perubahan teknologi yang mengganggu, sambil menyediakan platform untuk memupuk kerjasama global dalam menangani pelbagai ketidakpastian.

Forum tahun ini dijangka menarik tahap penyertaan kerajaan yang mencatat rekod baharu, dengan kehadiran 400 pemimpin politik utama, enam pemimpin G7, hampir 850 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengerusi syarikat terkemuka dunia serta hampir 100 inovator teknologi.

DIBAYANGI UGUTAN TRUMP

Namun penganjuran tahun ini dibayangi oleh ketegangan geopolitik yang dicetuskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkaitan usahanya untuk menguasai Greenland.

Para pemimpin Eropah mengambil pentas untuk menyampaikan ucapan mereka sebelum penampilan Trump, yang dilaporkan menggertak Kesatuan Eropah (EU) dengan ancaman tarif sebagai tekanan untuk mendapatkan pulau Artik itu. 

Trump dijangka mendominasi forum tersebut yang berlangsung hingga Jumaat ini di Davos dengan menyertai mesyuarat bersama pelbagai pihak mengenai cadangan pengambilalihan Greenland.

Delegasi besar AS sudah berada di Davos untuk mempromosikan agenda Washington walalupun dilihat bakal menggugat aturan global yang selama ini dipegang utuh WEF. 

Kehadiran delegasi besar AS, termasuk Setiausaha Perbendaharaannya, Scott Bessent menandakan keinginan Washington untuk memberi impak pada forum ekonomi dan politik global kali ini.

Hampir 3,000 pemimpin dunia, termasuk ramai ketua negara dan kerajaan, berkumpul di bawah tema ‘Semangat Dialog’ satu mesej optimistik walaupun dunia sedang menghadapi tekanan geopolitik yang ketara.

Presiden dan CEO WEF, Borge Brende berkata, mesyuarat tahun ini akan menjadi antara yang paling penting kepada masyarakat global dan menekankan dialog bukanlah kemewahan di masa ketidakpastian sebaliknya ia adalah keperluan mendesak.

“Forum global ini akan menyediakan ruang bagi gabungan pemimpin dan inovator dunia untuk menangani dan melihat melampaui perbezaan, mendapatkan pandangan tentang landskap global yang cepat berubah selain memajukan penyelesaian bagi cabaran terbesar dan paling mendesak untuk hari ini serta masa depan,” jelasnya.

Kehadiran Trump sebagai ketua negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang memandang wilayah anggota lain sebagai miliknya, disertai ancaman tarif perdagangan, dianggap bercanggah dengan identiti WEF sebagai juara sistem multilateral berasaskan peraturan. 

Semangat dialog ini juga akan terus diuji apabila pemimpin Eropah menilai cara menghadapi Presiden AS yang gemar ‘berkomunikasi’ melalui tekanan ekonomi.

ISU DIVERSIFIKAS PERDAGANGAN

Selain isu Greenland, pemimpin lain turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kebergantungan perdagangan kepada AS. 

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menekankan usaha negaranya untuk mengurangkan eksport ke AS yang kini hampir 70 peratus, dengan strategi memfokuskan kepada pasaran China, Jerman, Perancis, Mexico, Itali dan India.

Carney juga menandatangani perjanjian perdagangan sementara dengan China bagi mengurangkan tarif, selepas beberapa tahun hubungan diplomatik yang tegang. 

EU pula mempercepat usaha diversifikasi perdagangan dengan Mercosur, Indonesia, Mexico, Malaysia, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (EU) dan India, walaupun eksport EU ke AS hanya melebihi 20 peratus.

Laporan Global Risks WEF 2026 mengenal pasti konfrontasi geoekonomi sebagai risiko global utama tahun ini, diikuti konflik antara negara, cuaca ekstrem, polarisasi sosial, serta penyebaran maklumat palsu. 

Laporan itu menekankan zaman baharu persaingan meningkatkan risiko geopolitik dan geoekonomi, dengan ketidakpastian mendominasi pandangan masa depan.

Canselor United Kingdom (UK), Rachel Reeves turut hadir di Davos untuk menonjolkan Britain sebagai destinasi pelaburan stabil walaupun ancaman tarif terbaharu Trump. 

Reeves mengumumkan pelarasan sistem visa untuk menarik perniagaan dan inovator membawa masuk pekerja mahir, termasuk pemulangan yuran visa dan mempercepat kelayakan menjadi penaja pekerja migran.

“Sesetengah negara memberi anda platform, tetapi Britain memberi momentum. Mesej saya di Davos minggu ini jelas. Pilih Britain kerana ia adalah tempat terbaik di dunia untuk melabur,” kata Reeves dalam ucapan awal yang diterbitkan semalam.

Selain Greenland, WEF turut membincangkan isu-isu panas lain termasuk krisis di Venezuela, Gaza, Ukraine dan Iran. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN