DAVOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik balik ancaman untuk menawan Greenland secara paksa daripada sekutu Denmark, sebaliknya mengumumkan satu perjanjian samar yang bertujuan memastikan keselamatan wilayah Artik tersebut.
Trump mendakwa tindakannya itu sebagai kemenangan, termasuk membatalkan ikrar mengenakan sekatan serta tarif ke atas negara Eropah yang menentang ancaman terhadap Denmark. Beliau berkata, perjanjian itu memberi segala yang dimahukan Washington.
Dalam sidang media di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Trump mengumumkan perjanjian tersebut dirundingkan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte dan akan berlangsung ‘selamanya’.
“Saya rasa ia meletakkan semua pihak dalam kedudukan yang baik, terutama berkaitan keselamatan, mineral dan lain-lain,” kata Trump beberapa jam selepas ucapannya yang seolah-olah menghapus ancaman penggunaan kekerasan ke atas Greenland.
Bagaimanapun, tiada tanda Trump berjaya menunaikan janjinya sebelum ini untuk menjadikan Greenland sebahagian daripada AS.
Apabila ditanya sama ada Denmark akan terus mengawal wilayah itu, Rutte menjawab isu kedaulatan Greenland tidak timbul dalam perbincangannya dengan Trump.
Dalam temu bual dengan Fox News, Rutte memberikan sedikit butiran tentang status baharu Greenland, hanya menyatakan NATO akan terus bekerjasama untuk memastikan keselamatan Artik daripada kuasa musuh seperti Russia atau China.
Setiausaha NATO pula memberitahu AFP masih banyak kerja yang perlu dilakukan berhubung isu itu.
Trump juga menyatakan melalui media sosial beliau akan membatalkan tarif sehingga 25 peratus yang sebelum ini diancam terhadap Denmark dan sekutu Eropah lain yang menghantar tentera ke Greenland sebagai tanda solidariti, termasuk Britain, Perancis serta Jerman.
Jurucakap NATO, Allison Hart berkata, Denmark, Greenland dan AS akan merundingkan cara untuk memastikan Russia dan China tidak memperoleh tapak sama ada secara ekonomi atau ketenteraan di Greenland yang menjadi kebimbangan utama Trump.
Pasaran global yang bergoncang akibat krisis dan ancaman tarif Trump menunjukkan reaksi lega, dengan indeks utama Wall Street meningkat.-AFP










