Trump kaitkan cubaan rampas Greenland dengan Hadiah Nobel

Trump kaitkan cubaan rampas Greenland dengan Hadiah Nobel

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaitkan usaha untuk mengambil alih Greenland dengan kegagalannya memenangi Hadiah Keamanan Nobel, ketika pertikaian mengenai pulau itu mengancam untuk mencetuskan semula perang perdagangan dengan Eropah.

Malah, Trump berkata, beliau merasa kini tidak lagi perlu memikirkan tentang usaha-usaha keamanan.

Dalam pertukaran mesej luar biasa dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Stoere, Trump mempertikaikan hak Denmark ke atas pulau Artik yang luas itu dan mendakwa mahu mengawal sepenuhnya kawasan itu.

“Memandangkan negara anda memutuskan untuk tidak memberi saya Hadiah Nobel Keamanan atas usaha saya menghentikan lapan peperangan, saya tidak lagi berasa perlu berfikir semata-mata tentang keamanan,” tulis Trump kepada Store.

Beliau juga menegaskan Denmark tidak mampu melindungi pulau itu daripada Russia atau China dan mempertikaikan hak milik negara tersebut ke atas Greenland. 

Trump turut mencadangkan keputusan Britain menyerahkan Kepulauan Chagos kepada Mauritius adalah antara sebab beliau mahu menguasai Greenland.

“Dunia tidak selamat melainkan kita mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas Greenland,” katanya.

Mesej ini muncul beberapa hari selepas Trump mengugut untuk mengenakan tarif baharu yang tinggi terhadap lapan sekutu Eropah yang menentang rancangan beliau membeli Greenland, menimbulkan kebimbangan di ibu kota sekutu dan menyebabkan pasaran saham menjunam pada pembukaan awal minggu.

Ancaman tarif Trump, yang akan mengenakan duti 10 peratus ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda, dan Finland mulai 1 Februari, mencetuskan kebimbangan pelabur.

Langkah terbaharu Trump sekali lagi meninggalkan sekutu-sekutu AS dalam dilema bagaimana untuk menentang dengan tegas tanpa mencetuskan kemarahan Trump yang bersifat tidak menentu itu.

Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan akan mengadakan sidang kemuncak kecemasan pada Khamis bagi menilai tindak balas, menekankan keutamaan untuk berunding, bukan meningkatkan ketegangan, tetapi bersedia untuk mengambil tindakan jika perlu.

Perselisihan ini berpotensi menggugat pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menjadi asas keselamatan Barat selama beberapa dekad dan sudah berada di bawah tekanan berikutan perang di Ukraine serta sikap Trump yang enggan melindungi sekutu tanpa peningkatan perbelanjaan pertahanan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN