WASHINGTON: Ahli Senat AS, Lindsey Graham, menimbulkan kebimbangan berhubung kemungkinan konflik baharu dengan Iran selepas beliau berkongsi gambar Presiden, Donald Trump memegang topi bertulis ‘Make Iran Great Again’.
Graham, sekutu Trump dan penyokong dasar luar yang tegas, memuat naik gambar itu di platform X semalam, sambil memuji Trump atas usahanya mengukuhkan kedudukan AS di dalam dan luar negara.
“Semoga Tuhan memberkati Panglima Tertinggi kita dan semua mereka yang berani, berkhidmat di bawah pimpinannya.
“Saya bangga menjadi seorang rakyat Amerika. Semoga Tuhan memberkati dan melindungi rakyat Iran yang berani bangkit menentang penindasan,” tulis senator Republikan itu.
Topi tersebut, yang menggunakan semula slogan Trump “Make America Great Again”, dilihat sebagai isyarat sokongan terhadap perubahan rejim di Iran.
Gambar itu dikongsi ketika Trump terus mengeluarkan ancaman terhadap Iran, selepas pasukan AS menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, seorang sekutu Teheran.
Ia diambil ketika Graham mengiringi Trump dalam penerbangan Air Force One dari Florida ke Washington, DC lewat Ahad.
Sebelum ini, Graham turut berhujah mengenai keperluan menyingkirkan kerajaan Iran dalam satu temu bual sambil memakai topi yang sama.
Senator itu berkata, Trump ‘tidak berpaling daripada rakyat Iran’ di tengah-tengah protes antikerajaan yang sporadis di negara itu.
“Oleh itu, saya berdoa dan berharap 2026 akan menjadi tahun di mana kita menjadikan Iran hebat semula,” kata Graham kepada Fox News sambil memakai topi tersebut, yang turut memaparkan bendera Iran daripada era sebelum revolusi Islam 1979.
Pada Ahad, Trump menegaskan semula amaran AS akan campur tangan secara ketenteraan terhadap kerajaan Iran sekiranya pasukan keselamatan membunuh penunjuk perasaan.
“Jika mereka mula membunuh orang seperti yang berlaku sebelum ini, saya rasa mereka akan menerima tindakan keras daripada Amerika Syarikat,” kata presiden AS itu kepada para wartawan.- AL JAZEERA











