WASHINGTON: TikTok mengumumkan menubuhkan sebuah usaha sama yang dimiliki majoriti pihak Amerika Syarikat (AS) bagi mengendalikan operasi perniagaannya di negara itu, sekali gus membolehkan syarikat tersebut mengelak ancaman pengharaman pemilikan China.
Usaha sama dikenali sebagai TikTok USDS Joint Venture LLC itu akan memberi perkhidmatan kepada lebih 200 juta pengguna dan 7.5 juta perniagaan, selain melaksanakan perlindungan ketat melibatkan keselamatan data, keselamatan algoritma dan pemoderasian kandungan, menurut kenyataan syarikat.
Struktur baharu itu adalah sebagai respons kepada undang-undang yang diluluskan di bawah pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden yang mewajibkan ByteDance iaitu syarikat China pemilik TikTok menjual operasi TikTok di AS atau berdepan pengharaman di pasaran terbesarnya.
ByteDance mengekalkan pegangan sebanyak 19.9 peratus dalam usaha sama berkenaan, sekali gus memastikan pemilikannya berada di bawah ambang 20 peratus seperti yang ditetapkan oleh undang-undang tersebut.
Tiga pelabur iaitu Silver Lake, Oracle dan dana pelaburan kecerdasan buatan berpangkalan di Abu Dhabi, MGX masing-masing memegang pegangan 15 peratus. Pengerusi eksekutif Oracle, Larry Ellison dikenali sebagai sekutu lama Presiden, Donald Trump.
Pelabur lain termasuk Dell Family Office, sekutu Susquehanna International Group dan General Atlantic, serta beberapa firma pelaburan lain.
Usaha sama itu akan mengekalkan kuasa membuat keputusan berkaitan dasar kepercayaan dan keselamatan serta pemoderasian kandungan bagi pengguna AS, manakala entiti global TikTok akan mengurus usaha menyepadukan produk antarabangsa dan aktiviti komersial termasuk e-dagang dan pengiklanan.
Di bawah pengaturan tersebut, data pengguna AS akan disimpan dalam persekitaran awan selamat milik Oracle, dengan keselamatan siber diaudit oleh pakar pihak ketiga serta mematuhi piawaian persekutuan, kata TikTok.
Usaha sama itu akan ditadbir oleh lembaga pengarah tujuh ahli yang dimiliki majoriti warga AS, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Chew, serta eksekutif daripada firma pelaburan utama.
Eksekutif TikTok, Adam Presser dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif entiti baharu itu, manakala Will Farrell dilantik sebagai Ketua Pegawai Keselamatan.
Undang-undang yang diluluskan pada 2024 itu hadir susulan kebimbangan penggubal dasar AS termasuk Trump semasa penggal pertamanya China boleh menggunakan TikTok untuk mengumpul data rakyat AS atau mempengaruhi mereka melalui algoritma aplikasi berkenaan.
Bagaimanapun, Trump yang mengiktiraf peranan aplikasi itu dalam menarik sokongan pengundi muda, menangguhkan penguatkuasaan undang-undang tersebut melalui beberapa perintah eksekutif, dengan lanjutan terbaharu sehingga 22 Januari. -AFP










