DEIR HAFER: Tentera Syria mengambil alih sebahagian besar kawasan utara negara itu semalam, mengusir pasukan Kurdish yang mengawal wilayah tersebut secara autonomi selama lebih sedekad.
Operasi ketenteraan itu dibuat selepas kerajaan pimpinan Presiden, Ahmed al-Sharaa mengeluarkan dekri yang mengisytiharkan bahasa Kurdi sebagai bahasa kebangsaan serta memberi pengiktirafan rasmi kepada kumpulan minoriti tersebut.
Bagaimanapun, pihak Kurdi menyatakan pengumuman itu tidak memenuhi aspirasi mereka.
Agensi berita Syria SANA melaporkan, Pasukan Demokratik Syria (SDF) memusnahkan dua jambatan di Sungai Euphrates yang menuju ke bandar Raqqa ketika tentera kerajaan meneruskan kemaraan mereka ke wilayah itu.
Selama beberapa hari, tentera Syria berkumpul di sekitar sekumpulan kampung yang terletak di barat Sungai Euphrates yang berliku dan menuntut agar SDF memindahkan pasukan mereka ke tebing bertentangan sungai berkenaan.
Pejuang SDF menarik diri dari kawasan itu pada Sabtu sebagai isyarat niat baik, namun kemudian menuduh tentera Syria melanggar perjanjian dengan terus bergerak ke timur, memasuki bandar Tabqa dan medan minyak yang tidak termasuk dalam perjanjian.
Ketua Markas Pusat Tentera AS, Brad Cooper berkata, tentera Syria seharusnya menghentikan sebarang tindakan ofensif di kawasan antara bandar Aleppo dan bandar Tabqa, kira-kira 160 kilometer di timur negara itu.
Tentera Syria melaporkan empat anggota mereka terbunuh dalam serangan pasukan Kurdish, sementara SDF mengesahkan beberapa pejuangnya terkorban, namun tidak memberikan angka.
Menurut seorang sumber keselamatan Syria, pesawat pakatan pimpinan AS terbang di ruang udara beberapa bandar, melepaskan isyarat amaran.
AS kini terpaksa menyusun semula dasar mereka di Syria untuk menyeimbangkan sokongan bertahun-tahun terhadap SDF yang pernah berjuang menentang militan IS dengan sokongan baharu Washington terhadap Ahmed yang menggulingkan diktator Bashar al-Assad pada akhir 2024.-AGENSI









