Serangan AS di Syria bunuh pemimpin berkaitan Al-Qaeda

Serangan AS di Syria bunuh pemimpin ada kaitan dengan IS, Al-Qaeda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pasukan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara yang membunuh seorang pemimpin berkaitan Al-Qaeda yang dilaporkan mempunyai hubungan langsung dengan pengganas kumpulan IS.

Pemimpin itu dilaporkan bertanggungjawab ke atas serangan hendap yang membunuh tiga warga AS di Syria.

Komando Pusat AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan berkata, Bilal Hasan al-Jasim terbunuh dalam serangan yang berlaku di barat laut Syria, pada Jumaat.

“Kematian seorang pemimpin pengganas yang dikaitkan dengan kematian tiga warga AS menunjukkan keteguhan kami dalam memburu pengganas yang menyerang pasukan kami,” kata komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper.

“Tiada tempat selamat bagi mereka yang melaksana, merancang atau mengilhamkan serangan ke atas warganegara AS dan anggota tentera kami. Kami akan menemui anda,” katanya.

AS melancarkan serangan berskala besar terhadap sasaran IS di Syria, dinamakan Operation Hawkeye Strike sejak kematian tiga warga AS iaitu dua anggota tentera dan seorang penterjemah pada 13 Disember 2025 di Palmyra, Syria tengah.

Setakat ini, AS menyerang lebih 100 sasaran infrastruktur dan lokasi senjata menggunakan 200 munisi tepat, menurut CENTCOM.

Awal bulan ini, CENTCOM berkata ia telah membunuh atau menahan hampir 25 anggota IS dalam 11 misi antara 20 Disember dan 29 Disember.

Syria berada dalam keadaan rapuh sejak kejatuhan rejim bekas Presiden, Bashar al-Assad pada Disember 2024, yang secara efektif menamatkan perang saudara yang melanda negara itu selama 13 tahun.

Ahmed al-Sharaa, juga dikenali dengan nama perjuangannya Abu Mohammed al-Jolani menjadi presiden negara itu sejak kumpulan pemberontaknya menggulingkan Assad dan mengukuhkan kawalan.

IS kini semakin lemah di Syria, tetapi masih aktif, terutamanya melancarkan serangan terhadap pasukan pimpinan Kurdi di timur laut pada 2025. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×