MOSCOW: Polis Russia menahan ketua pegawai perubatan dan pemangku ketua unit rawatan rapi di sebuah hospital di Siberia, selepas sembilan bayi meninggal dunia bulan ini, menurut pihak pendakwa raya pada Rabu.
Kes ini, yang mendedahkan kekurangan kakitangan kronik serta jurang pembiayaan dalam sistem perubatan negara itu mencetuskan kemarahan dan kekeliruan dalam kalangan ahli politik Russia dan pengulas dalam talian.
Pihak pendakwa telah mendakwa kedua-dua individu tersebut atas kesalahan kecuaian dan menyebabkan kematian akibat kecuaian, menurut kenyataan Jawatankuasa Penyiasatan Russia.
Punca sebenar kematian bayi-bayi tersebut di Hospital Bersalin Novokuznetsk No. 1 masih belum diketahui.
Namun, pihak berkuasa kesihatan serantau berkata, semua bayi itu menghidap pelbagai penyakit yang dijangkiti semasa proses kelahiran atau sepanjang kehamilan.
Pihak hospital mengumumkan menghentikan penerimaan pesakit berikutan kadar jangkitan pernafasan yang tinggi.
“Antara 4 Januari hingga 12 Januari 2026, sembilan bayi baru lahir meninggal dunia di Hospital Bersalin Novokuznetsk No. 1 akibat pelaksanaan tugas rasmi dan profesional perubatan oleh suspek yang dilakukan pada tahap di bawah piawaian.
“Siasatan forensik terhadap setiap kematian bayi tersebut sedang dijalankan,” menurut kenyataan Jawatankuasa Penyiasatan Russia.
Akhbar tabloid Komsomolskaya Pravda melaporkan, hospital tersebut mengalami kekurangan puluhan kakitangan, walaupun pihak hospital menafikan dakwaan itu.
Speaker Dewan Atasan Parlimen Russia, Valentina Matvienko menyifatkan insiden tersebut sebagai satu tragedi.
“Ia tidak boleh berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Gabenor wilayah Kuzbass, yang merangkumi bandar Novokuznetsk, mengumumkan pada hari Selasa beliau mengarahkan pemeriksaan ke atas semua hospital bersalin dan pra-kelahiran di wilayah itu.
“Dalam keadaan krisis demografi, membenarkan beberapa bayi meninggal dunia di sebuah hospital bersalin dalam tempoh yang begitu singkat adalah satu jenayah terhadap negara,” kata ahli Parlimen pro-Kremlin, Yana Lantratova
Hospital bersalin lain di Novokuznetsk, sebuah bandar dengan kira-kira setengah juta penduduk di selatan Siberia masih beroperasi, menurut kementerian kesihatan wilayah tersebut.-AFP










