Putin setuju henti serangan di Ukraine selama seminggu ketika cuaca ekstrem - Trump

Putin setuju henti serangan di Ukraine selama seminggu ketika cuaca ekstrem – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin bersetuju untuk tidak menyerang ibu negara Ukraine, Kyiv, serta bandar-bandar lain selama seminggu berikutan cuaca sejuk ekstrem.

Meskipun Russia belum mengesahkan perjanjian berkenaan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyambut baik pengumuman Trump dan berharap Moscow menepati janji tersebut.

Trump tidak memperincikan bila tempoh jeda itu akan bermula, namun suhu di ibu negara Ukraine dijangka menjunam bermula malam Khamis dan boleh mencecah sehingga -24 darjah Celsius dalam beberapa hari akan datang.

“Saya secara peribadi meminta Putin supaya tidak melancarkan serangan ke arah Kyiv dan pelbagai bandar lain selama seminggu dan beliau bersetuju untuk melakukannya.

“Ia sesuatu yang sangat baik. Ramai orang berkata, ‘Jangan buang masa menelefon, anda tidak akan mendapat persetujuan itu.’ Tetapi beliau (Putin) melakukannya,” katanya dalam mesyuarat Kabinet yang disiarkan di televisyen di Washington DC.

Menurut Trump, pihak Ukraine seakan-akan hampir tidak percaya, namun mereka sangat gembira kerana sedang bergelut dengan keadaan yang sangat sukar.

Menerusi hantaran di media sosial pada Khamis, Zelensky menyifatkan pengumuman Trump sebagai satu kenyataan penting dalam usaha menyediakan keselamatan buat rakyat Ukraine semasa tempoh musim sejuk ekstrem ini.

“Pasukan kami sudah membincangkan perkara ini di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kami menjangkakan perjanjian ini akan dilaksanakan,” katanya.

Difahamkan, Ukraine juga bersetuju untuk membalas tindakan Moscow dengan menghentikan serangannya ke atas kilang penapisan minyak Russia sebagai timbal balas.

Minggu lalu, perunding dari Russia, Ukraine, dan AS bertemu di UAE untuk rundingan tiga hala pertama sejak peperangan bermula.

Walaupun semua pihak menyifatkan rundingan itu sebagai membina, belum ada pengumuman rasmi daripada Moscow mengenai persetujuan gencatan senjata sementara ini.

Sejak pencerobohan bermula pada 2022, Russia sering memperhebat serangan ke atas infrastruktur tenaga Ukraine setiap kali musim sejuk tiba.

Serangan berterusan itu melumpuhkan bekalan kuasa di bandar-bandar utama, menyebabkan berjuta-juta penduduk terputus bekalan pemanas dan elektrik. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×