Presiden Colombia sanggup angkat senjata semula demi negara

Presiden Colombia sanggup angkat senjata semula demi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Presiden Colombia, Gustavo Petro menegaskan sanggup mengangkat senjata demi negaranya, susulan ancaman yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) terhadap beliau dan kerajaannya.

Dalam satu hantaran di media sosial semalam, Petro berkata, beliau akan bertindak balas sekiranya berlaku sebarang campur tangan ganas oleh AS di Colombia seperti yang berlaku di Venezuela pada hujung minggu lalu.

“Saya telah bersumpah untuk tidak menyentuh senjata lagi. Namun demi tanah air, saya akan mengangkat senjata semula,” katanya.

Petro muncul sebagai pengkritik lantang Presiden AS Donald Trump, yang sebelum ini mengancam Colombia dengan kemungkinan serangan ketenteraan atas alasan memerangi pengedaran dadah.

Kedua-dua pemimpin sering bertikam lidah, namun ancaman Trump dilihat semakin keras sejak kebelakangan ini.

Presiden AS itu pada hujung minggu lalu mengancam Petro untuk ‘berhati-hati’ susulan penculikan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, satu tindakan yang secara meluas dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Ketika bercakap kepada wartawan pada Ahad, Trump memberi bayangan operasi sama di Venezuela tidak mustahil berlaku ke atas kerajaan Petro.

“Colombia juga sangat sakit, diperintah oleh seorang lelaki sakit yang suka menghasilkan kokain dan menjualnya ke AS, dan dia tidak akan terus berbuat demikian untuk tempoh yang lama,” kata Trump.

Kementerian Luar Colombia mengecam kenyataan Trump itu sebagai campur tangan tidak wajar dalam hal ehwal dalaman negara yang bertentangan dengan norma undang-undang antarabangsa.

Trump menuduh Petro memudahkan penyeludupan dadah ke AS, satu dakwaan yang tidak disokong bukti dan dinafikan keras oleh Petro.

Petro menegaskan kerajaannya telah berusaha membanteras pengeluaran dadah sambil beralih daripada pendekatan ketenteraan dalam perang terhadap dadah.

“Saya mempunyai kepercayaan yang amat besar terhadap rakyat saya. Itulah sebabnya saya meminta rakyat untuk mempertahankan presiden daripada sebarang tindakan ganas yang tidak sah terhadapnya,” katanya -ALJAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×