CRANS-MONTANA: Polis Switzerland mengesahkan kesemua 40 mangsa yang terkorban dalam kebakaran sebuah bar di pusat peranginan ski Crans-Montana pada malam Tahun Baharu telah dikenal pasti.
Mangsa berusia antara 14 hingga 39 tahun, dengan 15 daripada mereka berumur bawah 18 tahun.
Mangsa termuda ialah seorang remaja perempuan warga Switzerland dan seorang remaja lelaki warga Perancis, masing-masing berusia 14 tahun.
Kumpulan mangsa terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Switzerland, Itali, Romania, Turkiye, Portugal, Perancis dan Belgium, selain seorang warga United Kingdom, Perancis dan Israel.
Selain 40 yang terkorban, seramai 119 individu lain cedera dalam kejadian itu.
Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan melecur yang serius, manakala enam daripadanya masih belum dapat dikenal pasti berikutan tahap kecederaan yang teruk.
Siasatan jenayah kini dijalankan terhadap pasangan warga Perancis yang menguruskan bar Le Constellation.
Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada bunga api kecil pada botol minuman yang dipegang terlalu dekat dengan siling premis.
Polis berkata, tiada maklumat lanjut mengenai identiti mangsa akan didedahkan bagi menghormati keluarga mereka.
Bagaimanapun, ibu kepada Arthur Brodard memaklumkan melalui Facebook pada malam Sabtu anak lelakinya yang berusia 16 tahun adalah antara yang terkorban.
Dalam satu mesej video, dia berkata keluarganya kini dapat memulakan tempoh berkabung dengan tenang. Sebelum ini, Arthur dilaporkan hilang dan maklumat mengenai keadaannya amat terhad.
Ketika status anaknya masih tidak diketahui, ibu remaja itu memberitahu akhbar tempatan Le Temps dia ‘hidup dalam mimpi ngeri’.
Beberapa rakan Arthur ditemui dengan kecederaan melecur meliputi hampir separuh tubuh mereka.
Le Constellation dikenali sebagai bar yang popular dalam kalangan golongan muda di bandar peranginan ski itu, di mana umur minimum untuk mengambil minuman beralkohol ialah 16 tahun.
Pasangan Perancis yang memiliki bar berkenaan dikenali media sebagai Jacques dan Jessica Moretti disyaki melakukan kesalahan menyebabkan kematian, kecederaan dan kebakaran akibat kecuaian, menurut Pejabat Pendakwa Raya wilayah Valais.
Ketua Pendakwa Raya Valais, Beatrice Pilloud berkata, pihak penyiasat turut meneliti sama ada bahan penebat bunyi di siling premis menjadi punca kebakaran, selain menyemak sama ada ia mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan. -BBC










