ADEN: Ketua Majlis Presiden Yemen mengumumkan semua angkatan tentera di selatan negara itu kini akan beroperasi di bawah arahan gabungan yang diketuai Arab Saudi, susulan kegagalan serangan oleh kumpulan pemisah yang disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Saya mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Ketenteraan Tertinggi di bawah arahan pasukan gabungan,” kata Ketua majlis yang disokong Arab Saudi, Rashad Al-Alimidalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut akan bertanggungjawab terhadap latihan, kelengkapan dan pengarahan semua pasukan serta formasi ketenteraan di selatan Yemen.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas pasukan Yemen yang disokong Arab Saudi berjaya merampas semula kawasan luas daripada kumpulan pemisah Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE. STC sebelum ini menguasai dua wilayah penting pada Disember lalu.
Masa depan STC kini tidak menentu berikutan laporan pemimpinnya melarikan diri ke luar negara, manakala delegasi yang dihantar ke Riyadh mengumumkan pembubaran kumpulan itu pada Jumaat.
Bagaimanapun, ahli STC di lokasi lain berkata, pengumuman tersebut dibuat di bawah tekanan.
Ribuan penyokong kumpulan pemisah tersebut dilaporkan berhimpun di bandar Aden walaupun pegawai pro-Arab Saudi melarang perhimpunan tersebut.
Para penunjuk perasaan mengibarkan bendera bekas Yemen Selatan, yang pernah menjadi negara merdeka antara 1967 hingga 1990, manakala sebahagian lagi mempamerkan potret Presiden STC, Aidarous Al-Zubaidi.-AFP










