Newsom dakwa disekat berucap di Davos, salahkan pentadbiran Trump

Newsom disekat berucap di Davos, salahkan pentadbiran Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAVOS: Gabenor California, Gavin Newsom yang juga pengkritik lantang Presiden, Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa beliau disekat daripada berucap di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada Rabu, sambil menuduh Rumah Putih campur tangan dalam acara yang dirancangnya.

Newsom meluahkan kekecewaan tersebut menerusi satu hantaran di platform X selepas beliau dilarang menggunakan USA House, iaitu kediaman rasmi AS di Davos.

“California baru sahaja dinafikan hak di USA House. Setahu kami, California adalah sebahagian daripada AS.

“Betapa lemah dan menyedihkan tahap anda sehingga perlu merasa takut dengan satu sesi dialog santai?” tambah Newsom, yang sebelum ini secara terbuka membayangkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden bagi Parti Demokrat pada tahun 2028.

Pejabat Newsom mendakwa tindakan tersebut berpunca daripada tekanan pihak pentadbiran Trump, meskipun tidak mengemukakan bukti khusus.

“Di bawah tekanan daripada Rumah Putih dan Jabatan Negara, USA House kini melarang kemasukan Gabenor Gavin Newsom untuk bercakap dengan media selepas dijemput oleh rakan media rasmi, Fortune,” menurut kenyataan pejabat akhbar gabenor itu.

Pihak Fortune mengesahkan jemputan tersebut dalam satu kenyataan kepada Reuters dan menjelaskan pengurusan USA House memutuskan untuk tidak membenarkan penyertaan Newsom di premis berkenaan.

Hubungan antara Trump dan Newsom dilaporkan semakin tegang sejak Trump memulakan penggal kedua di Rumah Putih setahun lalu.

Ketegangan itu termasuk isu pengerahan tentera Pengawal Kebangsaan ke California pada musim panas lalu, selain tindakan Trump yang sering merujuk gabenor itu sebagai ‘Newscum’.

Ketika berucap di Davos, Trump sempat menyindir kehadiran seteru politiknya itu.

“Saya tahu Gavin ada di sini. Saya pernah mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Gavin suatu masa dahulu,” kata Trump.

Newsom, yang dilihat berada di dalam dewan ketika ucapan Trump berlangsung, kemudian memberitahu wartawan ucapan Trump sangat membosankan dan langsung tidak signifikan.

Sebelum insiden sekatan tersebut, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, terlebih dahulu melancarkan kritikan pedas terhadap Newsom dengan menyamakan beliau dengan watak pembunuh bersiri fiksyen Patrick Bateman dan patung ‘Sparkle Beach Ken’.

“Beliau terlalu bongkak, terlalu taksub dengan diri sendiri, dan buta ekonomi untuk mengetahui apa-apa pun,” ujar Bessent dalam nada mengejek. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN