PARIS: Lantai sebuah apartmen di Paris runtuh semasa berlangsungnya sebuah pesta yang sesak pada hujung minggu lalu, mengakibatkan seorang individu cedera parah, menurut polis, pasukan penyelamat dan pendakwa raya.
Insiden mengejutkan itu berlaku pada malam Sabtu apabila lantai sebuah apartmen di tingkat lima runtuh ketika kira-kira 50 orang sedang berkumpul di kediaman tersebut di daerah ke-11 ibu negara Perancis.
Seorang mangsa mengalami masalah jantung dan pernafasan, namun berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke hospital.
Selain itu, 14 individu lain turut menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami, menurut Pejabat Pendakwa Raya Paris.
Polis memaklumkan, pasukan penyelamat melakukan kerja-kerja menyokong struktur tingkat empat apartmen tersebut bagi mengelakkan kerosakan lanjut, namun struktur keseluruhan bangunan didapati masih stabil.
Paris mempunyai kepadatan tinggi sekitar 20,000 orang bagi setiap kilometer persegi, dengan penduduknya sering tinggal di ruang sempit berikutan kadar sewa yang tinggi.










