Kumpulan gerila utama Colombia sokong pakatan menentang AS

Kumpulan gerila utama Colombia sokong pakatan menentang AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Pemimpin kumpulan gerila terbesar di Colombia menyatakan sokongan kepada seruan agar kumpulan bersenjata berhaluan kiri bersatu untuk menangkis sebarang operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di negara itu.

Dalam kenyataannya kepada agensi berita AFP, Ketua Ejército de Liberación Nacional (ELN), Antonio Garcia berkata, kumpulannya sanggup bersama dalam perjuangan itu jika ia bertujuan mempertahankan tanah air daripada pencerobohan asing.

Kenyataan itu dibuat susulan isyarat diberikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa pasukan AS mungkin mengalih tumpuan mereka ke Colombia tidak lama selepas penggulingan Nicolás Maduro di Venezuela.

Trump mendakwa Colombia, pengeluar kokain terbesar di dunia tidak cukup berusaha untuk menghentikan penyaluran dadah ke AS.

ELN, yang menggelarkan dirinya sebagai kekuatan pemberontak kiri, turut dikenali antara organisasi pengedaran dadah yang berkuasa di Amerika Latin, dengan anggaran 6,000 anggota dan kawalan ke atas kawasan sempadan Colombia‑Venezuela.

Sebelum penggulingan Maduro, kumpulan itu mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Venezuela.

Sumber perisikan Colombia mendakwa Garcia sendiri tinggal di Venezuela sehingga baru‑baru ini. Selepas Maduro digulingkan oleh pasukan AS, ramai pemimpin gerila dipercayai kembali ke Colombia.

Pemimpin gerila lain, termasuk Ivan Mordisco, dikatakan menyeru pembentukan pakatan antara kumpulan pemberontak untuk menentang apa yang didakwa sebagai plot kolonialis AS.

Mordisco, yang mengetuai kumpulan pembangkang bersenjata terbesar daripada saki-baki Angkatan Bersenjata Revolusioner Colombia (FARC) yang dibubarkan, menggesa semua komander dari Colombia dan seluruh Amerika Latin berkumpul dalam satu sidang kemuncak bagi membentuk barisan besar bagi menentang musuh mereka.

Dalam ucapannya kepada AFP, Garcia menegaskan ELN akan melakukan apa yang perlu pada setiap peringkat perjuangan.

Kementerian Pertahanan Colombia menegaskan gerila ini berusaha bersatu susulan peningkatan ancaman keselamatan yang lebih serius terhadap mereka.

Presiden Colombia, Gustavo Petro, yang mempunyai hubungan yang tegang dengan Trump dikatakan bersetuju dengan tindakan bersama menentang ELN dan penyeludup dadah lain.

Trump pernah mengeluarkan kecaman keras terhadap Petro yang juga bekas gerila sebelum hubungan kedua negara mula mereda selepas satu panggilan telefon antara mereka. Trump dijadualkan mengundang Petro ke Rumah Putih pada Februari ini.

Kerajaan Colombia menuduh ELN melancarkan serangan dan penculikan terhadap tentera Colombia dan kemudian berundur ke kawasan belakang di Venezuela, satu langkah yang menurut penganalisis, mencerminkan potensi perluasan operasi ketenteraan AS terhadap kubu kumpulan itu. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×