BANGKOK: Konflik antara Thailand dan Kemboja seperti tidak berkesudahan apabila satu lagi insiden tembakan rentas sempadan tercetus, meskipun kedua-dua negara baharu sahaja bersetuju melaksanakan gencatan senjata kurang dua minggu lalu.
Tentera Thailand berkata, pasukan Kemboja melanggar gencatan senjata yang memasuki hari ke-10 pada Selasa apabila menembak wilayah sempadan dengan mortar yang menyebabkan seorang anggotanya cedera.
“Kemboja telah melanggar gencatan senjata pada pagi Selasa. Pasukan Kemboja menembak mortar ke wilayah Ubon Ratchathani.
“Seorang tentera cedera akibat serpihan peluru dan sedang dipindahkan untuk mendapatkan rawatan perubatan,” menurut kenyataan tentera Thailand.
Tentera Thailand berkata, pihak tentera Kemboja mendakwa tembakan baharu di sempadan adalah satu kemalangan.
“Sebuah unit tentera di kawasan berkenaan dihubungi oleh pihak Kemboja yang mendakwa tiada niat untuk menembak ke wilayah Thailand dan berkata insiden itu berlaku akibat kesilapan operasi oleh anggota Kemboja,” menurut kenyataan tentera Thailand.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, enggan mengulas mengenai dakwaan serangan itu.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, kerajaannya mengemukakan bantahan rasmi kepada Phnom Penh, berhubung pencabulan gencatan senjata itu.
“Di peringkat tentera, kami dimaklumkan kejadian itu sebagai kemalangan, tetapi sedang mendapatkan penjelasan mengenai bagaimana tanggungjawab akan diambil,” katanya kepada wartawan di Bangkok.
Anutin menegaskan, Thailand mempunyai keupayaan untuk bertindak balas terhadap Kemboja, yang jauh lebih lemah dari segi ketenteraan berbanding negara jirannya itu.
Pertikaian selama berdekad antara jiran Asia Tenggara itu tercetus beberapa kali tahun lalu, dengan pertempuran pada Disember menyebabkan puluhan kematian dan mengakibatkan kira-kira satu juta penduduk hilang tempat tinggal di kedua-dua pihak.
Kedua-dua negara bersetuju dengan gencatan senjata pada 27 Disember, yang menamatkan tiga minggu pertempuran.- AFP










