Kes saman Putera Harry: akhbar tabloid UK bertegas guna sumber sah

Kes saman Putera Harry: akhbar tabloid UK bertegas guna sumber sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Dua akhbar tabloid Britain yang dituduh menggodam telefon dan melakukan pengumpulan maklumat secara haram terhadap Putera Harry serta enam tokoh ternama lain, menegaskan mereka hanya bergantung kepada sumber yang sah dalam penulisan berita.

Pada hari kedua perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang dijangka berlangsung selama sembilan minggu, Associated Newspapers Ltd (ANL), penerbit akhbar Daily Mail dan The Mail on Sunday mula mengemukakan hujah pembelaan terhadap dakwaan pelanggaran privasi tersebut.

Syarikat itu menolak dakwaan yang dikemukakan oleh Putera Harry, ikon pop Elton John dan suaminya David Furnish, serta empat lagi tokoh terkenal bahawa mereka memintas pesanan mel suara secara haram, mengintip panggilan telefon, dan memperoleh maklumat peribadi melalui penipuan.

Putera Harry, yang hadir di mahkamah pada Isnin dan Selasa, dijangka akan memberi keterangan di kandang saksi seawal Rabu.

Tujuh plaintif tersebut mendakwa ANL membayar penyiasat persendirian yang terlibat dalam kes penggodaman telefon lain untuk mendapatkan maklumat haram bagi menghasilkan puluhan artikel berita.

Dakwaan itu merangkumi tempoh dari sekurang-kurangnya tahun 1993 sehingga 2018 dalam beberapa kes tertentu.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili ANL, Antony White, berkata, perbicaraan itu akan membuktikan pihaknya mempunyai penjelasan melalui barisan saksi yang panjang mengenai sumber kewartawanan bagi lebih 50 artikel yang terlibat.

“Secara keseluruhannya, ia memberikan gambaran yang kukuh tentang corak pemerolehan sumber artikel yang sah,” tambah beliau.

White turut berhujah dakwaan plaintif seolah-olah menuduh ramai wartawan dan kakitangan akhbar tersebut berbohong secara besar-besaran.

“Adalah mustahil bagi sekumpulan besar wartawan untuk melakukan perkara sedemikian,” hujah White lagi.

Beliau juga menyifatkan tuduhan mengenai pembayaran kepada penyiasat persendirian itu sebagai sekadar serkap jarang.

Ini merupakan kes ketiga dan terakhir yang dibawa oleh Harry terhadap penerbit akhbar Britain. Beliau sebelum ini menyifatkan tindakannya menyaman tabloid sebagai satu misi demi kebaikan sejagat.

Anak bongsu Raja Charles III itu telah lama menyalahkan pihak media atas kematian ibunya, Puteri Diana, yang maut dalam kemalangan kereta ngeri di Paris pada tahun 1997 ketika cuba melarikan diri daripada buruan jurugambar paparazzi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN