LONDON: Dunia mencatatkan jumlah bilionair tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu, dengan kekayaan kolektif mencecah AS$18.3 trilion (RM74.24 trilion), ketika usaha global untuk membanteras kemiskinan dan kelaparan semakin perlahan.
Menurut tinjauan tahunan ketidaksamaan global oleh Oxfam, jumlah bilionair melepasi angka 3,000 buat pertama kali pada tahun 2025.
Sejak 2020, kekayaan mereka meningkat sebanyak 81 peratus atau AS$8.2 trilion (RM33.26 trilion), jumlah yang menurut badan kebajikan itu mencukupi untuk menghapuskan kemiskinan global sebanyak 26 kali.
Menurut penulis bersama laporan tersebut, Max Lawson, golongan kaya juga semakin mencipta pengaruh dari segi politik, dengan keupayaan besar untuk membentuk dasar, masyarakat dan ekonomi.
Lawson dan penulis bersama, Harry Bignell berkata, golongan kaya kini semakin terbuka menggunakan kekayaan untuk mempengaruhi politik, termasuk melalui penguasaan media, menyertai politik secara langsung atau membiayai kempen pilihan raya.
Kajian mereka menganggarkan bilionair adalah 4,000 kali lebih berkemungkinan memegang jawatan politik berbanding orang biasa. Lebih separuh syarikat media dunia dan sembilan daripada 10 platform media sosial terbesar juga dimiliki oleh bilionair.
Menurut Oxfam, kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan jika golongan kaya menyokong sesuatu dasar, ia mempunyai peluang 45 peratus untuk diluluskan, berbanding hanya 18 peratus jika mereka menentangnya.
Kumpulan itu turut mengaitkan lonjakan kekayaan terbaharu dengan dasar di bawah Presiden AS, Donald Trump dalam pentadbiran penggal keduanya yang memotong cukai, melindungi syarikat multinasional daripada tekanan antarabangsa serta melonggarkan pemantauan terhadap monopoli.
“Jika dahulu golongan kaya lebih berhati-hati menggunakan kuasa, kini hubungan antara wang dan politik semakin jelas dan berani. Kerajaan di seluruh dunia juga sedang membuat pilihan yang salah, mempertahankan kuasa golongan kaya, bukannya rakyat.
“Mereka memilih untuk menindas kemarahan rakyat yang semakin terhimpit dengan kos hidup yang tidak mampu ditanggung, daripada mengagihkan semula kekayaan,” katanya.
Oxfam mendesak kerajaan supaya melaksanakan pelan nasional bagi mengurangkan ketidaksamaan, mengenakan cukai lebih tinggi ke atas kekayaan melampau serta memperkukuh sempadan antara wang dan politik, termasuk menyekat aktiviti lobi dan pembiayaan kempen pilihan raya.-AGENSI










