NEW DELHI: Penduduk Delhi berdepan kualiti udara yang berbahaya apabila asap tebal dan kabus toksik menyelubungi wilayah ibu negara India itu, sekali gus melonjakkan pencemaran udara ke tahap sangat teruk buat kali pertama tahun ini.
New Delhi, yang dihuni oleh 30 juta penduduk dilaporkan tidak mencatatkan satu hari pun dengan status udara bersih sejak September 2023.
Bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) secara konsisten berada di atas paras 50 sepanjang dua tahun lalu.
Mengikut skala AQI dari 0 hingga 500, kualiti udara yang baik adalah di bawah paras 50, manakala bacaan melebihi 300 dianggap berbahaya.
Berdasarkan data Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat, bacaan keseluruhan AQI kini berada di sekitar 439 hingga 444, dengan beberapa stesen pemantau di seluruh bandar hampir mencecah paras 500, catatan terburuk sejak kemuncak musim sejuk pada awal November.
Kualiti udara yang kian meruncing ini turut memberi impak kepada dunia sukan apabila bintang badminton Denmark, Anders Antonsen, memilih untuk menarik diri daripada kejohanan Terbuka India yang sedang berlangsung.
Antonsen, yang menduduki ranking ketiga dunia, menyatakan menerusi Instagram bandar itu tidak lagi sesuai untuk menganjurkan kejohanan ekoran pencemaran melampau.
Atlet berkenaan sanggup membayar denda AS$5,000 (RM20,282) berbanding risiko kesihatan jika terus berada di New Delhi.
Bagi penduduk tempatan, mereka tidak mempunyai pilihan selain mengharungi udara beracun tersebut.
Seorang aktivis pelajar, Akriti Chaudhary berkata, walaupun sudah menggunakan pelitup muka N90 dan meminum air yang banyak, beliau tetap mengalami jangkitan tekak dan selsema akibat asap tersebut pada awal Januari. Jelasnya, situasi ini lebih buruk bagi mereka yang tinggal di lokasi industri tanpa kawasan hijau.
Pakar iklim, Dr. D. Raghunandan menyuarakan kebimbangan pencemaran ini kini tidak lagi dapat dielakkan oleh 90 peratus populasi New Delhi.
Beliau menyifatkan tindakan kerajaan setakat ini hanya bersifat ‘kosmetik’ seperti penggunaan meriam air kecil di atas kenderaan untuk menyembur air di sekitar bandar.
Beliau turut membandingkan krisis New Delhi dengan situasi yang pernah dihadapi Beijing sepuluh tahun lalu, di mana banyak syarikat besar memilih untuk meninggalkan ibu negara China itu akibat pencemaran.
Menurut beliau, jika kualiti udara di Delhi tidak menunjukkan perubahan, tidak mustahil pelabur dan perbadanan besar akan turut mula beralih keluar dari bandar tersebut. -AGENSI










