Israel perdagang bantuan di Gaza, benar barang dibawa masuk peniaga komersial - Utusan Malaysia

Israel perdagang bantuan di Gaza, benar barang dibawa masuk peniaga komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel sedang menjalankan sistem kawalan baharu untuk penghantaran keperluan ke Gaza, membolehkan pedagang komersial membawa masuk barang yang dilarang bagi organisasi kemanusiaan.

Bekalan asas yang menyelamatkan nyawa, termasuk penjana elektrik dan tiang khemah, berada dalam senarai hitam Israel yang panjang bagi barangan dwi-guna.
Senarai dwi guna yang memerlukan penilaian keselamatan dan permit import ke Gaza, menimbulkan kebimbangan sejak diperkenalkan. Senarai itu luas, dirahsiakan sehingga sesuatu barangan ditolak dan dilaksanakan secara arbitrari.

Barangan yang dilarang sejak dua tahun lalu termasuk panel solar, pengesan asap, tongkat, kerusi roda dan alat bantuan berjalan. Agensi bantuan (NGO)bekerjasama menyenaraikan barangan yang ditolak untuk menjimatkan masa dan kos, tetapi prosesnya tetap memakan masa.

Israel memberi alasan kemasukan barangan ini perlu dikawal ketat kerana berpotensi dieksploitasi oleh Hamas atau kumpulan bersenjata lain untuk tujuan ketenteraan.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya selama sebulan, pihak berkuasa Israel membenarkan perniagaan membawa beberapa barangan dwi guna ke Gaza, termasuk penjana elektrik dan palet logam yang lebih tahan lasak ketika hujan serta lumpur musim sejuk berbanding plat kayu.

Menurut sumber tentera, diplomatik dan kemanusiaan, barangan ini kini dijual secara terbuka di pasaran Gaza.

Semua barangan ini perlu melalui tiga pos kawalan ketat Israel yang sama, yang pada masa ini menghalang penghantaran barang-barang tersebut untuk organisasi bantuan.

“Kelihatan amat mustahil pihak Israel tidak mengetahui perkara ini. Sangat mengejutkan barangan ini dapat masuk melalui saluran komersial,” kata seorang sumber diplomatik.

UNTUNGKAN PENIAGA KOMERSIAL

Perbezaan ini mengehadkan kerja organisasi kemanusiaan yang menyokong rakyat Palestin pada saat mereka amat memerlukan bantuan, sambil memberikan peluang menguntungkan kepada pedagang komersial yang mampu mendapatkan permit import daripada pihak berkuasa Israel.

Komander Amerika Syarikat (AS) bagi pangkalan baharu Washington di selatan Israel, Leftenan Jeneral Patrick Frank dilaporkan sudah dimaklumkan mengenai sekatan barangan dwi guna tersebut.

Beliau dilaporkan membincangkan kawalan tersebut bersama diplomat dan wakil kemanusiaan di Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan (CMCC) yang ditubuhkan pada bulan Oktober untuk memantau gencatan senjata dan merancang masa depan Gaza.

Pengarah Eksekutif Gisha yang memantau sekatan ke atas Gaza selama 20 tahun, Tania Hary menegaskan, kawalan ke atas barangan seperti penjana elektrik bukan berasaskan risiko atau bahaya barangan itu sendiri, tetapi bergantung pada siapa yang memegangnya, di mana ia digunakan dan bagaimana ia digunakan.

Sekatan Israel lama menjadikan perdagangan ke Gaza amat lumayan bagi rakyat Palestin dan Israel yang mampu mendapatkan permit. Barangan dalam senarai dwi guna kini dijual dengan harga sangat tinggi di wilayah itu.

“Cara satu-satunya untuk mendapatkan penjana sekarang adalah melalui sektor swasta tetapi harganya terlalu tinggi,” kata Pengarah Sementara UNRWA Gaza, Sam Rose.

Beliau berkata, perniagaan di kedua-dua belah pihak melibatkan Israel, Mesir, Palestin serta beberapa syarikat keselamatan yang mendapat perlindungan rejim Zionis turut mendapat keuntungan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi haram.

“Saya tidak pasti sama ada Hamas mendapat bahagian. Saya menganggap ya, tetapi tiada pengesahan rasmi.

“Sektor komersial kini boleh membawa masuk barangan yang dilarang untuk NGO, seperti penjana. Ini mewujudkan sistem dua peringkat yang melemahkan sistem diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang wajib disokong Isreal menurut undang-undang antarabangsa,” tegasnya.

Penyelidik Atlantic Council, Ahmed Alkhatib berkata, bagi penghantaran komersial ke Gaza, penduduk bukan sahaja membayar yuran dan cukai kepada Hamas, tetapi juga kepada pedagang di pihak Israel.

“Kita semua tahu Gaza sentiasa menjadi pasaran besar untuk ekonomi Israel,” katanya.

BANTUAN SEBAGAI ALAT POLITIK

COGAT, unit Kementerian Pertahanan Israel yang mengawal akses ke Gaza, menafikan mereka menghalang atau menunda penghantaran bantuan mahu pun melonggarkan sekatan untuk pedagang komersial.

“Polisi kemasukan bantuan ke Gaza diluluskan oleh pihak politik Israel dan dilaksanakan oleh COGAT secara seragam terhadap PBB, organisasi antarabangsa, negara penderma dan sektor swasta.

“Bagi barangan dwi guna, Israel menawarkan alternatif kepada organisasi antarabangsa yang membolehkan dan memudahkan tindak balas kemanusiaan,” kata kenyataan itu tanpa menyatakan butiran.

Sekatan ini adalah contoh terbaharu Israel menggunakan bantuan sebagai alat politik dan ketenteraan di Gaza.

Pada musim panas lalu, Israel menyebabkan kebuluran di beberapa bahagian wilayah itu dengan menyekat penghantaran makanan selama beberapa minggu, kemudian hanya membenarkan sejumlah kecil bantuan masuk, mengakibatkan ratusan kematian.

Pasukan AS yang dikerahkan ke CMCC tiba pada Oktober dengan persiapan logistik besar untuk menghantar bantuan ke Gaza, tetapi mendapati cabaran terbesar adalah politik, dan hampir segera berdepan pertikaian dengan pihak Israel mengenai beberapa sekatan, termasuk tiang khemah.

Pegawai AS di CMCC menyenaraikan sekurang-kurangnya 12 barangan kemanusiaan yang ingin dikeluarkan daripada senarai dwi guna, tetapi beberapa minggu kemudian Israel masih tidak melonggarkan sekatan.

Tekanan antarabangsa terhadap Israel mengenai senarai dwi guna turut berkurangan sejak dua tahun lalu, walaupun selepas CMCC ditubuhkan.

“Jelas ini bukan kepentingan keselamatan yang menjadi faktor keputusan. Senarai barangan dwi guna hanyalah cara lain untuk mengawal apa yang masuk ke Gaza,” kata seorang sumber Barat.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN