SHAH ALAM: Kawasan penempatan yang menempatkan majoriti penduduk beragama Islam di Bukit Tagar, Hulu Selangor tidak sepatutnya menjadi lokasi menempatkan ladang babi berpusat.
Presiden, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, ia seharusnya ditempatkan di kawasan yang majoritinya penduduk merupakan pemakan daging ternakan itu.
Katanya, justeru lebih 2,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menentang sekeras-kerasnya pembinaan ladang babi di kawasan berkenaan, membantah sebarang aktiviti ternakan di Selangor.
“Jika mahu diusahakan juga, biarlah di kawasan majoriti penduduk pemakan daging babi. Justeru, kami membantah keputusan kerajaan negeri untuk memindahkan ladang babi ke Bukit Tagar kerana ia akan menjejaskan kehidupan penduduk yang majoritinya beragama Islam.
“Kami tidak akan berkompromi sekiranya kawasan penempatan orang Melayu dijadikan sasaran dan akan terus membantah jika rancangan ini diteruskan,” ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu dia bersama kira-kira 100 individu dari pelbagai NGO termasuk penduduk Bukit Tagar, berhimpun secara aman di hadapan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Perhimpunan tersebut diadakan bagi menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pembinaan ladang babi berpusat dekat Bukit Tagar.
Jelas Syed Hassan, kerajaan negeri juga digesa supaya mengharamkan terus cadangan pembinaan ladang babi dan aktiviti ternakannya di negeri ini.
“Kami juga menentang cadangan menjadikan Selangor sebagai pengeksport daging babi sedangkan negara ini beragama Islam dan perkara itu tidak wajar berlaku. Sepatutnya daging babi perlu diimport bukan diternak di sini,” tegasnya. – UTUSAN










