NEW YORK: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro ditahan di sebuah pusat tahanan di New York pada Ahad sementara menunggu tuduhan berkaitan pengedaran dadah selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan satu serbuan mengejut untuk menangkapnya dengan menyatakan AS akan mengambil alih kawalan negara pengeluar minyak itu.
Imej Maduro yang berusia 63 tahun ketika dibawa ke AS lengkap dengan penutup mata dan tangan bergari, mengejutkan rakyat Venezuela dan dianggap sebagai campur tangan paling kontroversi AS di Amerika Latin sejak pencerobohan ke atas Panama 37 tahun lalu.
Beliau dijadualkan hadir di mahkamah Manhattan pada 5 Januari dan sempat mengucapkan ‘Selamat Tahun Baharu’ kepada pihak yang menahannya.
Di Venezuela, sekutu Maduro masih menguasai pentadbiran negara dan mengecam penahanannya sebagai satu penculikan yang didakwa bermotifkan kepentingan minyak.
Keadaan jalanan dilaporkan tenang berbanding biasa, dengan ramai penduduk kekal di rumah manakala sebahagian membeli barangan keperluan.
“Saya hanya membawa anjing keluar sebentar dan suasananya seperti bandar terbiar, orang ramai berkurung di dalam rumah. Semua orang dalam ketakutan,” kata Alejandra Palencia, 35, seorang pakar psikologi dari bandar Maracay.
Trump berkata, AS akan menguruskan Venezuela, negara dengan kira-kira 30 juta penduduk dan rizab minyak terbesar di dunia, sehingga peralihan yang selamat dan teratur dapat dilaksanakan. Namun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana langkah itu akan dijalankan.
Trump menolak cadangan agar pemimpin pembangkang, Maria Corina Machado mengambil alih kepimpinan, dengan menyatakan beliau tidak mempunyai sokongan mencukupi.
Machado sebelum ini dilarang bertanding dalam pilihan raya Venezuela 2024 dan berpendapat sekutunya, Edmundo Gonzalez, 76, yang menurut pembangkang menang besar, sepatutnya menjadi presiden.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata AS bersedia bekerjasama dengan baki kepimpinan Venezuela sekiranya mereka membuat keputusan yang betul.
“Kami akan menilai segala-galanya berdasarkan tindakan mereka. Jika mereka tidak membuat keputusan yang betul, AS masih mempunyai pelbagai alat tekanan,” katanya.- AGENSI










